Bukan Sahaja Barisan Kabinet, BN Juga Perlu Dirombak

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Samad berpandangan bahawa bukan sahaja kabinet yang perlu dirombak, malah parti pemerintah Barisan Nasional (BN) juga perlu melalui proses yang sama.

 

Menurutnya, proses itu perlu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

 

“Saya setuju kabinet dirombak dan proses rombakan ini perlu sedikit penyesuaian dari segi pembahagian portfolio.

 

“Selain daripada menteri di kabinet, perlu juga rombakan di peringkat parti yang menerajui kerajaan dari segi urus tadbir dan program-programnya.

 

“Langkah ini perlu sebagai persiapan BN untuk menghadapi PRU yang hanya berbaki tidak sampai tiga tahun maka kita mahu segala slogan dan manifesto BN hendaklah dilaksanakan dengan baik sebelum menjelang PRU akan datang,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Malah jelasnya, kedudukan menteri-menteri di kabinet memerlukan penelitian semula memandangkan ada di kalangan jemaah menteri itu mungkin diletakkan di bawah bidang kuasa yang tidak bersesuaian.

 

“Ini kerana, mungkin ada di kalangan ahli-ahli kabinet terbabit mengalami sedikit kemerosoton prestasi yang mana ahli kabinet ini perlu ditukarkan ke portfolio yang bersesuaian.

 

“Kalau ini semua dapat dilakukan, saya yakin BN tidak mempunyai sebarang masalah untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya lagi.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan ruangan Awang Selamat di dalam Mingguan Malaysia semalam berkenaan rombakan kabinet.

 

Desas desus mengenai rombakan kabinet makin kerap kedengaran dan menurut Awang, rombakan tersebut dijangka akan berlaku selepas Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

 

Antara nama yang disebut-sebut akan menganggotai kabinet ialah Shahrir yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dengan jawatan menteri kanan.

 

Bagaimanapun Shahrir menjelaskan beliau enggan menerima jawatan tersebut dan lebih selesa berkhidmat sebagai wakil rakyat bagi rakyat di Parlimen Johor Baharu.

 

Menurut Awang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini memerlukan pasukan baru yang bukan sahaja dinamik malah komited menyokongnya dalam saat-saat yang sukar dan ketika berdepan krisis.

 

Ia juga mesej jelas kepada semua bahawa Najib mahu bangkit daripada dugaan politik yang dihadapi terutama berkaitan isu syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.