Tunggu Laporan Ikan Makan Babi

Bera – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani masih menunggu laporan mengenai dakwaan kes ikan patin diberi makan bangkai babi di Ipoh.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata laporan Jabatan Perikanan Perak bagi menentukan kebenaran dakwaan itu masih belum diterima.

Menurut beliau, pihaknya juga akan mengkaji beberapa peraturan menurut Akta Perikanan bagi mengambil tindakan terhadap pengusaha kolam ikan yang didapati berbuat demikian.

“Beberapa perkara perlu diteliti sebelum kita nak ambil tindakan…buat masa ini kita hanya bagi nasihat kepada pengusaha-pengusaha lain agar tidak berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, peraturan baharu yang lebih ketat terhadap penternak babi bagi mengekang penularan wabak Ensefalitis Jepun (JE) akan dilaksanakan.

Ismail Sabri berkata peraturan baharu itu akan diumum dalam waktu terdekat.

“Kita mahu ladang babi mempunyai ‘buffer zone’ yang lebih selamat seperti jarak kandang babi dengan kawasan kampung atau petempatan manusia, berapa jauh atau berapa kilometer mereka boleh bina kandang babi.

“Jika kandang babi dibina dalam radius berkenaan kita tak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dengan menutup kandang terbabit,” katanya.

Selain itu, penternak juga dicadang membina kandang secara tertutup selain mempunyai sistem kumbahan lebih sistematik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.