Tiada Istilah Cagar Anak

IPOH – ‘Tiada istilah cagar anak, sebaliknya anak itu memang diserahkan untuk jagaan kami’.
 
Itu komen balas diberikan seorang suri rumah yang dikenali dikenali Ayu, 35, berhubung sebuah keluarga mendakwa anak lelakinya berusia 10 bulan dilarikan.
 
Ayu berkata, pada Mei lalu, sepasang suami isteri menyerahkan anak mereka berusia lapan bulan kepada keluarganya untuk dijaga.
 
Menurutnya, dia dan suami bersetuju mengambil bayi itu atas dasar prihatin bagi memberi kehidupan lebih baik memandangkan kesempitan hidup dihadapi keluarga itu.
 
“Memang kami diperkenalkan melalui orang tengah, tapi ketika proses penyerahan, tidak timbul isu jaga sekejap kemudian pulangkan semula, anak itu memang diserahkan untuk kami jaga.
 
“Ada dokumen yang ditandatangani dan itu semua berkaitan dengan hak penyerahan penjagaan semata-mata,” katanya.
 
Dalam laporan sebelum ini, ibu terbabit meminta bayinya dipulangkan selepas dikatakan gagal mengesan keluarga itu sejak dua bulan lalu.
 
Dia turut menyatakan, anaknya itu sepatutnya dipulangkan dalam tempoh dua hari sebagai persetujuan untuk meminjamkan wang sebanyak RMM3,500 bagi menyelesaikan saman trafik suami.
 
Ayu yang mempunyai tiga anak masing-masing berusia 17, 14, dan 8 tahun berkata, memang dia dan suami menyerahkan wang RM3,500 kepada pasangan itu, namun ia sebagai sagu hati kerana memberi hak penjagaan bayi itu.
 
“Secara logiknya, mana ada orang akan cagarkan anak untuk pinjam wang, sejak pertama kali lihat dia (bayi), hati kami sudah tertarik dan terbuka untuk mengambilnya sebagai anak angkat,” katanya.
 
Beliau berkata, proses mendapatkan hak penjagaan secara sah sudah dilakukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.
 
Namun katanya, dia dan suami sedia menyelesaikan isu tersebut melalui perbincangan secara keluarga.

http://www.sinarharian.com.my/semasa/tiada-istilah-cagar-anak-1.299183

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.