Koperal Rajah Jamain, 32, mati ditembak manakala rakannya Konstabel Zakiah Aleip dipercayai diculik oleh sekumpulan lapan lelaki berpakaian gelap serta bertopeng yang dikatakan naik ke jeti resort sebelum melepaskan tembakan rambang.

Menurut sumber, ketika kejadian dua anggota polis terbabit sedang makan menyebabkan mereka tidak sempat mencari perlindungan walaupun dapat membalas tembakan.

Malah, sebuah bot ronda polis marin yang cuba memberi bantuan turut diserang namun anggota terbabit dapat berlindung daripada tembakan.

Difahamkan, tiada pelancong resort berkenaan mengalami kecederaan kerana ketika kejadian kebanyakan mereka berada dalam bilik penginapan masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata kumpulan itu yang menggunakan senjata berat membuat serangan hendap terhadap pasukan keselamatan negara pada pukul 11.10 malam.

“Anggota yang terbunuh berpangkat koperal dan yang hilang ialah konstabel. Kita tidak boleh dedahkan identiti mereka untuk menjaga sensitiviti keluarga,” katanya yang dipetik Bernama.

Menurut Abdul Rashid, selepas melakukan serangan itu kumpulan terbabit melarikan diri ke perairan negara jiran.

Katanya juga tidak menolak kemungkinan kumpulan penjenayah menyasarkan pasukan keselamatan negara susulan peningkatan penguatkuasaan di kawasan itu dengan ramai suspek ditangkap.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua anggota dari semua agensi keselamatan kita di kawasan Esscom agar lebih berhati-hati dan sentiasa siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.