PM Mahu EssZone Kaji Semula Kawalan Keselamatan Secara Terperinci

Kuantan – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta meminta pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) supaya mengkaji semula sistem kawalan di sepanjang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dengan lebih terperinci supaya tidak lagi mudah dibolosi musuh.

Beliau berkata insiden pencerobohan terbaharu di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna malam tadi menunjukkan masih ada beberapa kelemahan dalam penempatan anggota dan perancangan keselamatan di lapangan.

“Saya minta ESSCom kaji semula sistem kawalan mereka secara terperinci, kalau tidak cukup bilangan anggota, kena tambah.

“Misalnya dalam kejadian di resort semalam, bilangan anggota tidak cukup kerana resort itu besar dan ini menunjukkan ada beberapa kelemahan dalam penempatan dan perancangan keselamatan on the ground berdasarkan tiap-tiap resort dalam ESSZone,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan, hari ini.

Najib diminta mengulas insiden pencerobohan terbaharu di Semporna yang mengakibatkan seorang anggota polis Marin terbunuh dan seorang lagi hilang dipercayai diculik.

Perdana Menteri berkata kesemua tugas untuk mengatur perancangan keselamatan yang lebih rapi dengan perubahan penempatan bilangan anggota keselamatan kelak akan diserahkan kepada Komander ESSCom.

Pada masa sama, Najib menyifatkan ancaman melibatkan pelbagai kumpulan dari Selatan Filipina sebagai perkara serius.

Justeri itu, beliau meminta polis mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyiasat pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan adanya penglibatan orang dalam termasuk penduduk sehingga membolehkan pihak musuh menghidu pergerakan pihak keselamatan dan membolosi kawalan untuk melakukan serangan hendap.

“Ini merupakan ancaman yang serius…mereka ini mempunyai persenjataan yang banyak dan boleh melakukan serang hendap serta membolosi kawalan kita.

“Sebab itu mereka bergerak waktu malam atau waktu tertentu kerana mereka mendapat maklumat terlalu terperinci mengenai pergerakan kawalan kita… ini merupakan satu cabaran yang serius,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 11.10 malam tadi, seorang anggota Pasukan Polis Marin terbunuh manakala seorang lagi hilang dipercayai diculik apabila pasukan keselamatan itu diserang hendap sekumpulan lapan lelaki bersenjata dalam kejadian di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna.

Anggota terkorban ialah Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, manakala yang hilang ialah Konstabel Zakian Aleip, 26 .

Najib dalam laman twitternya hari ini turut mengucapkan takziah kepada keluarga Koperal Ab Rajah yang terbunuh dalam insiden itu selain berjanji pihak berkuasa akan melakukan sedaya upaya bagi mencari dan menyelamatkan Konstabel Zakian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.