Piala Dunia 2014 Milik Siapa?

Rio De Janeiro – Penantian sebulan yang penuh suka dan duka akan berakhir apabila jaguh eropah, Jerman bertemu gergasi Amerika Selatan, Argentina dalam perlawanan akhir piala dunia 2014 pada awal pagi nanti.

Kini seluruh dunia sedang menantikan permainan yang paling bersejarah dalam kejohanan bola sepak antarabangsa yang akan bermula dalam beberapa jam lagi.

Debaran lebih kepada penduduk Argentina dan Jerman yang masing-masing mahu bawa pulang piala berprestij ini ke tanah air mereka.

Ribuan penyokong kedua-dua pasukan akan mewarnai stadium Maracana awal pagi nanti.

Argentina akan bermain dalam perlawanan akhir mereka yang kelima. Mereka telah menjulang piala ini dua kali dalam 4 perlawanan akhir mereka.

Kali pertama Argentina memenangi Piala Dunia adalah pada tahun 1978 dengan menundukkan Belanda 3-1 selepas masa tambahan di tempat sendiri, Buenos Aires.

Kemudian Argentina menjulang kembalinya pada 1986 hasil kemenangan 3-2 ke atas Jerman di Mexico.

Pasukan Jerman akan bermain perlawanan akhir piala dunia mereka yang kelapan, lebih daripada mana-mana negara lain. Mereka telah memenangi piala ini sebanyak tiga kali.

Jerman catat sejarah dengan langkah ke perlawanan akhir dalam setiap tujuh dekad (1954, 1966, 1974. 1982 dan 86, 1990, 2002 dan sekarang 2014).

Pasukan Jerman yang lebih dikenali dengan serangan dan taktik pantas pasti akan mencari gol awal.

Setakat ini, banteng pertahanan kental Argentina yang cukup mengkagumkan pasti sedia untuk hadapi serangan daripada Mueller, Klose, Kroos dan Ozil.

Selain menjadi kubu pertahanan kuat, barisan penyerang Argentina, Lavezzi, Messi dan Higuain harus mencari peluang untuk tembusi gawang gol Jerman.

Bintang Argentina, Messi akan menjadi tonggak utama dalam menggerakkan skuad Argentina hadapi Jerman.

Tumpuan dunia adalah lebih kepada pemain sensasi ini yang telah pun memberikan segala-galanya untuk melayakkan Argentina ke perlawanan akhir.

Seluruh dunia menantikan pemain sensi ini untuk bermain di pentas perlawanan akhir piala dunia dan ia menjadi kenyataan kali ini di Brazil.

Taktik permainan jurulatih Jerman, Joachim Loew membolehkan Jerman baham tuan rumah, Brazil 7-1.

Corak permainan skuad Jerman menentang Brazil membolehkannya menjadi pasukan pilihan pada perlawanan akhir nanti namun kebolehan Argentina tidak boleh dipandang rendah.

Adakah Jerman akan menjadi negara eropah pertama yang julang piala ini di tanah Amerika Selatan?

Adakah Argentina akan lakar sejarah dengan membawa pulang piala berprestij ini selepas 28 tahun?

Keajaiban yang dinanti-nantikan akan kita ketahui awal pagi nanti apabila pentas akhir piala dunia 2014 sedia digegar oleh pasukan Argentina dan Jerman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.