Meninggal Dunia Sewaktu Sujud

Jasin – Seorang pesara guru ditemui meninggal dunia ketika sujud terakhir solat Maghrib berjemaah di Masjid Al-Ghaffar, Jasin malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam, Mohamed Nor Abu, 72, dipercayai dalam keadaan sujud sebelum rebah secara tiba-tiba lalu dibantu jemaah lain mengangkatnya ke bahagian tepi masjid.

Imam 1 masjid Al-Ghaffar, Muhammad Adib Hatim, 29, berkata, beliau hanya menyedari insiden itu setelah selesai mengimamkan solat fardu tersebut sebelum mendapati Allahyarham yang berada di saf pertama tiba-tiba rebah.

Menurutnya, pada mulanya beliau hanya menyangka Allahyarham yang juga bekas bendahari Masjid An Nur pengsan, namun disahkan meninggal dunia oleh pihak polis.

“Kami sempat berbuka bersama dan berbual sebelum mendirikan solat Maghrib berjemaah.

“Memang sebelum itu tak nampak sebarang perubahan pada arwah dan kita juga tak sangka arwah pergi dalam keadaan baik yang bukan semua orang dapat merasai pemergian seperti itu lebih-lebih lagi Ramadan ini,” katanya.

Tambahnya, ini adalah kejadian pertama berlaku di masjid berkenaan dan berharap pemergian seperti ini dapat menjadi pengajaran serta tauladan kepada orang lain.

“Alhamdulillah walaupun berlaku peristiwa itu kita tetap meneruskan solat Isyak berjemaah sebelum diikuti solat tarawih.

“Satu yang kita dapat kongsikan bersama dan dapat dijadikan pengajaran yang mana saya mengenali arwah seorang yang tidak tinggal solat berjemaah, malah difahamkan arwah juga seorang yang telus ketika menjawat jawatan sebagai bendahari Masjid An Nur,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Khairulzaman Mohamed Nor, 48, berkata, beliau yang menetap di Johor bergegas pulang ke Melaka sejurus menerima berita kematian ayahnya.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian ayahnya yang dipilih ALLAH SWT meninggal dunia ketika bersolat di masjid seperti yang arwah pernah hasratkan sebelum ini.

“Saya sekeluarga reda dan bersedia menerima berita pemergiannya.

“Bila terima berita arwah meninggal dalam keadaan baik di tempat yang baik, membuatkan saya bertambah reda dan bersyukur mempunyai seorang ayah yang penyayang dan berjaya mendidik kami adik-beradik,” katanya.

Allahyarham yang menetap di Taman Maju meninggalkan seorang balu dan lima anak, jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Maju sebelum disembahyangkan di Masjid An Nur Taman Maju.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.