Jangan Malukan Wan Azizah, Segera Singkirkan Khalid

Kuala Lumpur – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu segera diangkat sebagai menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mengelak keaiban besar presiden PKR itu.

Penolong pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah berkata usaha untuk mengangkat Azizah sebagai menteri besar bukanlah satu tugas sukar kerana ia sudah disepakati Majlis Himpunan PKR Januari lalu.

“Sepatutnya mereka jaga kedudukan presiden parti. Sudah diangkat dengan susah payah sebegitu rupa sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, tetapi dibiarkan terkapai-kapai di awang-awangan. Kasihan Wan Azizah.

“Sepatutnya segeralah laksanakan ‘Langkah Kajang’ dan ketetapan Majlis Pimpinan Pusat. Jangan malukan presiden sendiri. Presiden pun ada aib dan wibawa yang perlu dijaga.

“Jadi, apa tangguh-tangguh lagi. Mengapa perlu lama-lama? Lantik segera Adun Kajang ini sebagai menteri besar,” katanya.

Semalam, ‎Anwar berkata perbincangan untuk menyingkirkan Khalid sebagai menteri besar Selangor dilakukan secara dalaman dan usaha berkenaan tidak dilakukan secara tergesa-gesa.

Ketua umum PKR itu berkata, Khalid setakat ini menjalankan tugasnya dengan baik, terutamanya dalam urus tadbir kewangan negeri.

“Saya tidak fikir kita perlu tergesa-gesa. Ia perbincangan dalaman dan baik bagi kami uruskannya dalam keadaan yang baik.

“Saya selalu berpendapat beliau lakukan tugasnya dengan baik dalam hal kewangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa semalam.

Zulkefli berkata jika PKR boleh meyakinkan 39,000 pengundi di DUN Kajang untuk memilih Azizah sebagai wakil rakyat, mengapa tidak suara 28 Adun Selangor memilih Azizah sebagai menteri besar.

Katanya, jika Khalid masih enggan berganjak daripada kerusi menteri besar, maka undi tidak percaya boleh dilakukan.

“Bukan sukar sangat kerana Pakatan mempunyai 44 kerusi. Mereka hanya perlukan 28 undi sahaja.

“PAS yang ada 15 kerusi dan dahulu menentang rancangan menukar menteri besar pun kini sudah bertukar arah. Suara PAS mahukan Khalid digugurkan semakin membesar,” katanya menerusi artikel bertajuk “Jangan malukan presiden, lantik segera jadi MB”.

Dalam pada itu, akhbar itu turut menyelar PKR kerana tidak pernah memikirkan kebajikan rakyat dengan bercadang mahu menyingkirkan Khalid.

Katanya, integriti yang dimiliki Khalid perlu dipertimbangkan sebelum apa-apa keputusan di peringkat negeri dibuat.

“Jika mereka benar-benar berjuang demi rakyat, tidaklah menteri besar yang diagung-agungkan mendapat sokongan rakyat Selangor itu dicela dan dihina sebegitu rupa oleh parti sendiri.

“Selama ini perkataan ‘demi rakyat’’ tidak pernah lekang di bibir menteri besar Selangor itu. Jadi siapakah sebenarnya yang membela dan siapakah yang hanya memanipulasi rakyat?

“Halangan terbesar ialah Khalid merupakan pilihan lebih baik berbanding Azizah atau mana-mana Adun PKR. Dari segi prestasi kerja, tidak mungkin Azizah boleh menandingi integriti dan kewibawaan Khalid,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.