30 Mesin Judi Komputer Ubahsuai Dirampas

Geeorgetown – Sebanyak 30 komputer yang diubahsuai menjadi mesin judi dirampas dalam satu serbuan, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis turut menahan lima orang termasuk dua wanita di dua premis dekat sebuah flat di Jalan Paya Terubong.

Beliau berkata, suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu adalah dua penjaga premis dan tiga pemain judi termasuk seorang lelaki warga Indonesia.

“Ketika serbuan kira-kira jam 11.30 malam, pemilik premis enggan bekerjasama menyebabkan polis terpaksa memecah masuk ke dalam kedua-dua premis yang terletak bersebelahan satu sama lain.

“Mereka hanya membenarkan pelanggan yang dikenali masuk selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya kepada media selepas serbuan.

Menurutnya, set komputer yang diubahsuai dan rampasan lain bernilai RM50,000.

Beliau berkata, pemilik premis disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda maksimum RM10,000 bagi setiap mesin judi atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk pemain pula, mereka berdepan hukuman mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.