KUALA LUMPUR – Kerajaan menanggung sepenuhnya kos perbelanjaan Tun Dr Mahathir Mohamad ke Forum Antarabangsa Nikkei edisi ke-30 di Jepun akhir bulan lalu dedah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegas Anwar, walaupun bekas Perdana Menteri itu kerap menyerang Kerajaan Madani namun. beliau mengambil sikap terbuka tanpa ada sebarang bersikap negatif.
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM486,000 bagi kos berkenaan selepas menerima permohonan daripada Dr Mahathir untuk menghadiri persidangan yang berlangsung di Tokyo itu.
“Ada peraturan membolehkan Perdana Menteri luluskan (perjalanan bekas perdana menteri yang lain) … beliau mohon, kalau Perdana Menteri luluskan, kerajaan akan bayar, termasuk untuk Tun Mahathir.
“Baru-baru ini beliau ingin ke persidangan Nikkei di Jepun, jadi beliau mohon dan saya luluskan walaupun saya ingat daripada sembilan orang, mungkin tujuh orang (yang menyertai delegasinya),” katanya.
Anwar berkata, walaupun sering dikritik, bekas Perdana Menteri itu mempunyai hak untuk memohon peruntukan, bagaimanapun kelulusan tertakluk kepada pertimbangan Perdana Menteri.
“Jadi, (ada) orang tanya pasal apa bayar? Ada hak beliau (untuk) memohon, tetapi terserah kepada Perdana Menteri untuk meluluskan.
“Saya tidak mahu ada yang salah faham … saya juga tidak mahu ambil sikap negatif walaupun beliau hari-hari ‘serang’ kita, kita masih luluskan,” kata Anwar lapor media di Melaka.
Pada 30 Mei, Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Forum Antarabangsa Nikkei dan pada forum itu, beliau memberikan bayangan tentang penyertaan terakhirnya dalam persidangan yang membincangkan ekonomi, teknologi dan masa depan Asia itu.