Siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak akan berhenti, polis terus siasat cari pelaku -peguam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pertuduhan ke atas ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin mengikut Akta Kanak-kanak (AKK) 2001 dan bukan Seksyen 302 Kanun Keseksaan hari ini mungkin berdasarkan bukti dan keterangan saksi yang diperoleh polis.

Peguam mewakili ibu kanak-kanak autisme itu, Mahmud Jumaat berkata pertuduhan yang dihadapi pasangan suami isteri itu hanya membabitkan pengabaian dan bukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh).

“Ini mungkin berdasarkan bukti yang ada dan berdasarkan keterangan saksi yang dipanggil (polis). Berikutan itu, pihak pendakwaan hari ini membuat keputusan untuk hanya menuduh kedua-duanya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Pihak pendakwaan membuat keputusan untuk hanya tuduh mengikut AKK. Adakah kemungkinan dituduh bunuh selepas ini, ia kuasa pihak pendakwaan tapi buat masa ini, itulah pertuduhan dibuat ke atas kedua OKT (orang kena tuduh).

“Saya percaya mungkin cukup setakat ini untuk mana-mana pihak buat spekulasi membabitkan mereka dalam kes ini,” katanya ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, lapor BH pada Khamis.

Untuk rekod, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang boleh menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun itu, mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Sementara itu, peguam mewakili Zaim Ikhwan, Fahmi Abd Moin menjelaskan bahawa pasangan suami isteri itu pada mula memang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun mereka pada hari ini hanya dituduh atas kesalahan pengabaian.

“Kertas siasatan awal menang dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pada hari ini mereka habis reman, dan dituduh mengikut Akta Kanak-kanak 2001.

“Bagaimanapun, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ini tidak akan berhenti dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan teruskan siasatan untuk mencari siapa pelaku sebenarnya, ini harapan daripada keluarga dan masyarakat.. ini yang kita nak tahu.,” katanya.

Mengenai pertuduhan pengabaian dihadapi anak guamnya, Fahmi berkata beliau dan Mahmud belum diberikan dokumen mengenai butiran lanjut mengenai pengabaian seperti yang dikemukakan terhadap anak guam mereka oleh pihak pendakwaan, hari ini.

Dokumen itu, katanya mungkin diberikan kepada mereka semasa sebutan semula kes dan penyerahan dokumen yang ditetapkan oleh pihak mahkamah pada 26 Julai ini.

Ketika ditanya sama ada anak guamnya boleh dituduh atas kesalahan membunuh, Fahmi berkata pihaknya tidak dapat memastikan perkara itu dan iabergantung kepada siasatan lanjut polis.

Sementara itu, ibu bapa Zayn Rayyan selesai membayar jaminan RM20,000 di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun membuat pembayaran itu pada jam 12.40 tengah hari.

Sejurus itu, suami isteri berkenaan dilihat menaiki Perodua Myvi berwarna putih sebelum meninggalkan kompleks mahkamah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat