“Perangkap” Sistem Pendidikan Konvensional

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Selepas keluarnya keputusan rasmi SPM 2023 baru-baru ini ramai dikalangan rakyat Malaysia yang bersifat sinikal terhadap jumlah pelajar yang tidak hadir untuk menduduki peperiksaan tersebut.

Daripada 383,685 calon SPM 2023 yang telah mendaftar, seramai 10,160 orang calon telah gagal untuk menghadiri peperiksaan ini yang bagi kebanyakkan daripada kita menganggap sebagai titik tolak kepada kehidupan seseorang rakyat Malaysia.

Akibat daripada jumlah besar yang agak mengejutkan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan akan mengadakan satu intervensi agar perkara ini tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.

Pada masa yang sama KPM juga menyatakan bahawa keputusan SPM 2023 adalah lebih baik berbanding tahun 2022 kerana khabarnya GPN (Gred Purata Nasional) pada tahun 2023 adalah 4.74 berbanding tahun 2022 yang mana GPN adalah sebanyak 4.60.

Jumlah pelajar yang mendapat A dalam semua subjek juga pada masa kini sebegitu ramai dengan keputusan SPM 2023 memperlihatkan seramai 11,713 calon SPM mendapat keputusan cemerlang tersebut.

Secara atas kertasnya (menerusi statistik & data KPM), kita akan dapat melihat perkembangan positif dalam penguasaan para pelajar didalam subjek-subjek yang diuji dalam silibus SPM.

Namun begitu, kita tidak boleh nafikan terdapat seolah-olah satu gerakan “anti-pendidikan” konvensional sedang berlaku sejak beberapa tahun ini, yang cuba mencabar tradisi sistem pendidikan Malaysia.

Pada tahun 2021 dan 2023 kita melihat satu trend di media sosial khasnya, yang mana sebilangan para pelajar lepasan SPM tidak begitu teruja untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Satu kajian yang dijalankan pada tahun 2023 oleh UCSI mendapati bahawa hanya 51% daripada calon SPM 2022 mahu ke universiti atau kolej, manakala 39% menolak untuk melanjutkan pengajian dan 10% masih lagi tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan pasca SPM.

Sebagai sebuah negara membangun, dua soalan ini perlu ditanyakan kepada diri kita sendiri.

Soalan pertama: Adakah kita sebagai masyarakat perlu risau dengan hal ini?

Jawapan mudahnya adalah Ya! Kita perlu risau kerana jika keadaan ini berterusan negara akan mengalami defisit kepada sumber manusia dari kalangan profesional dan pekerja mahir sekaligus akan merencatkan pembangunan sosio ekonomi Malaysia.

Soalan kedua: Adakah generasi muda perlu dipersalahkan kerana mereka tidak mahu lebih cemerlang dalam bidang akademik?

Tidak, kerana pada ketika ini kebanyakkan daripada anak muda telah dipertontonkan dengan kegagalan “abang” dan “kakak” mereka yang telah ke universiti tetapi apabila dicampak ke dunia pekerjaan, mereka terpaksa bekerja di bidang yang lain (akibat tiada permintaan dalam bidang yang mereka pelajari) dan juga mereka terpaksa menanggung hutang belajar yang sangat tinggi sungguhpun masih belum berupaya untuk mendapat sebarang pekerjaan.

Perkara ini berlaku secara meluas sehinggakan di bidang-bidang profesional seperti bidang guaman, arkitek dan kejuruteraan turut memperlihatkan penggajian yang amat rendah selepas seseorang itu tamat pengajian dan bergraduasi.

Mengambil contoh umum di dalam bidang guaman, apabila tamat belajar selama 5 tahun (1 tahun Pre-Law + 4 tahun LLB (Hons), seorang graduan undang-undang yang berumur lebih kurang 22 atau 23 tahun akan menerima elaun RM 800 atau sehingga RM 1,500 selama 9 bulan semasa latihan dalam kamar (chambering).

Sedangkan rakan-rakan sepersekolahan mereka yang telah bekerja sebagai pembantu kedai makanan segera dari umur 17 tahun, langsung selepas SPM, berupaya mendapat gaji RM 1,500 (gaji minimum) tanpa komitmen hutang PTPTN, MARA dan lain-lain.

Ya memang benar seorang peguam mungkin boleh mendapat gaji yang lebih besar di masa hadapan, namun begitu, melihat daripada perspektif anak muda di zaman gratifikasi segera pada ketika ini, sudah tentu analogi diatas akan memberikan satu persepsi negatif terhadap sistem pendidikan yang dilihat bukan sahaja membebankan tetapi juga menyekat mereka untuk mendapat pendapatan lebih tinggi.

Contoh diatas adalah untuk bidang profesional, bayangkan bidang-bidang lain seperti teknologi sokongan, pengurusan dan seni (arts) yang selepas bergraduasi ijazah mereka “dilelong” yang akhirnya berkemungkinan mereka juga akan terpaksa bekerja di kedai makanan segera beberapa tahun sebelum mendapat pekerjaan yang lebih sesuai dengan kelulusan.

Ini belum lagi dikisahkan secara mendalam mengenai “kolej-kolej swasta atas kedai” yang sentiasa menjadikan lepasan SPM sebagai mangsa mereka. Sudahlah ijazah atau diploma tiada akreditasi (sebut MQA) ditambah pula hutang pinjaman pelajaran, diasak lagi dengan persaingan hebat untuk mencari rezeki di dunia sebenar.

“Sudah jatuh ditimpa tangga, terpijak pula tahi ayam”, begitulah nasib anak muda Malaysia yang begitu malang akibat tersilap langkah di usia muda.

Selepas melihat kebejatan ini, sudah tentu sebilangan anak-anak muda begitu skeptikal untuk melanjutkan pengajian ataupun melihat pendidikan sebagai satu jalan untuk memajukan diri mereka.

Sifirnya mudah, manusia belajar sesuatu ilmu untuk menjadi bebas. Dua kebebasan yang utama adalah untuk bebas dari kebodohan dan bebas dari kemiskinan. Masalahnya di sini, anak muda Malaysia sudah tentu tidak boleh menafikan pendidikan akan membebaskan mereka dari kebodohan, kerana ilmu itu sifatnya mencerah, tetapi apabila kita meraikan kebodohan, mereka akan melihat, “Eh jadi bodoh pun boleh kaya?”.

Mana tidaknya, lihatlah gerombolan orang-orang bodoh (mungkin ada yang dilihat hampir tidak siuman) yang singgah di media sosial kita setiap hari. Makin dikecam makin menjadi-jadi sikap dangkal mereka. Tapi mungkin pada pandangan anak-anak muda kita, biarlah mereka nampak bodoh, mereka kaya!

Dr Malar Santhi Santherasegapan pernah mendedahkan apabila beliau bertemu anak-anak sekolah di Ampang Selangor tahun lepas, beliau bertanya kepada mereka apakah cita-cita mereka dalam hidup? Hanya segelintir sahaja yang mahu menjadi golongan profesional, manakala sebilangan besar mahu menjadi pempengaruh media sosial.

Ini menunjukkan, kita sebagai masyarakat telah berjaya mengangkat kebodohan dan “kemegahan” superficial sebagai satu kejayaan. Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Sehinggakan ada antara pembuat konten yang tidak semenggah ini menjadi jutawan segera dengan menayangkan isi kandungan tidak bermanfaat kepada masyarakat umum.

Saya tidak mengatakan semua pempengaruh itu bodoh tapi kebanyakkannya mereka buat-buat bodoh dan mereka akhirnya kaya dengan lakonan bodoh mereka. Tapi anak-anak muda kita yang masih mentah tidak sedar akan perkara ini dan merasakan menjadi bodoh dan tidak malu itu bakal menyenangkan mereka di masa hadapan.

Mereka melihat sistem pendidikan konvensional bukan untuk mereka dan ia merupakan satu perangkap yang amat menyusahkan sekiranya mereka meniti jalan yang telah dilalui oleh ibu, bapa, abang dan kakak mereka yang kini kais pagi makan pagi walaupun telah memegang segulung ijazah.

Namun begitu, pada hemat saya sebagai bekas calon SPM 21 tahun yang lepas, kita masih lagi berpeluang untuk mengubah persepsi anak-anak muda ini sekiranya kita berjaya sekurang-kurangnya untuk merangka satu ekosistem pendidikan dan pengajian tinggi yang ampuh bagi mempromosikan semula kehebatan sistem pendidikan negara.

Sejak dari bangku sekolah rendah lagi kita perlu titipkan kekuatan ilmu untuk mengangkat darjat mereka sebagai insan dan juga bagi membolehkan mereka merangka masa hadapan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri.

Sebagai contoh, sekiranya kita melihat potensi seseorang murid itu di dalam bidang seni, kita bukan sahaja mendidik mereka mengenai asas seni, tetapi juga tayangkan kepada mereka apa yang perlu mereka lakukan agar seni itu dapat dijadikan sumber mata pencarian mereka.

Kita tanamkan dalam hati mereka bahawa pensijilan dalam sesuatu ilmu itu adalah penting dan bertindak sebagai satu bukti kepada penguasaan mereka terhadap ilmu yang mereka pelajari.

Pedagogi pendidikan Malaysia harus lengkap, yang mana para pelajar dapat melihat masa hadapan mereka seawal mereka menjejakkan kaki pada hari pertama persekolahan di darjah 1.

Dan sepertimana di dalam borang UPU yang mempunyai beberapa pilihan, kita hidangkan juga kepada mereka rencana cadangan (backup plan) sekiranya terdapat halangan tertentu untuk mereka mencapai kehidupan impian mereka.

Sekiranya perkara ini jelas di mata para pelajar, saya percaya mereka akan lebih teruja untuk kesekolah dan seterusnya lebih girang untuk melangkah ke menara gading.

Menolak sebentar sentimen politik, kita amat bertuah pada ketika ini kerana mempunyai pemimpin yang berpengalaman dalam bidang pendidikan bagi mengemudi masalah ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan Perdana Menteri Malaysia adalah mantan guru dan pensyarah. YB Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek seorang peguam dan aktivis yang jelas tegas dan amat cakna dengan situasi semasa. YB Senator Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri DiRaja Zambry Abdul Kadir pula sememangnya seorang ahli akademik yang amat berpengalaman dalam bidang pendidikan tinggi.

Tuntasnya, saya percaya masalah ini akan dapat diselesaikan, namun kita sebagai ahli masyarakat turut perlu terlibat dalam usaha menyucikan semula sistem pendidikan negara yang dilihat semakin “kotor” oleh anak-anak muda Malaysia.

Tidak perlu kita bersikap sinikal terhadap golongan muda yang menolak sistem pendidikan Malaysia dengan kata-kata jelik di ruangan komen di media sosial. Percayalah, makin kita hina, maki dan caci mereka akan semakin jauh. Kita juga pernah muda dengan jiwa berontak yang sakral pada pandangan kita, oleh itu untuk kita menasihat anak muda, fikirlah juga bahawa “Aku juga pernah muda”.

Jika ada peluang untuk berbicara dengan anak-anak muda, dengarkan luahan hati mereka dan berikan mereka ruang untuk berfikir secara rasional.

Mereka masih muda dan menjadi tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat yang pernah melalui lorong-lorong pendidikan ini untuk memberikan nasihat dan dorongan yang positif agar mereka juga akan berjaya dalam hidup.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat