MAVCOM bubar, serap masuk CAAM kurangkan karenah birokrasi industri penerbangan – MOT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan dibubar dan diserap masuk ke dalam Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan pembubaran dan pindaan terhadap kedua-dua agensi terbabit akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun akan datang.

“Selepas itu, badan kawal selia industri penerbangan Malaysia dirombak dan diletakkan di bawah satu entiti untuk memangkin industri penerbangan awam selari dengan hala tuju dasar kerajaan supaya lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Pembaharuan ini juga bertujuan untuk mengurangkan karenah birokrasi dan mempertingkat keberkesanan serta kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan penerbangan awam, terutamanya dalam perkhidmatan pelesenan.

“Dengan penggabungan MAVCOM dan CAAM kelak, tiada lagi keperluan untuk mendapatkan kelulusan berasingan daripada dua agensi.

“Sebaliknya, satu entiti kerajaan akan memproses permohonan kelulusan teknikal dan pengeluaran lesen kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri penerbangan,” katanya, lapor Awani pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkenaan Konsesi Pengerukan & Hala Tuju Penggabungan MAVCOM dan CAAM hari ini.

Tambah Anthony, pembaharuan ini akan mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan kewangan sedia ada, seterusnya menghimpunkan kumpulan pakar ekonomi dan teknikal penerbangan awam dibawah satu entiti.

Ditanya mengenai nasib kakitangan MAVCOM, beliau menegaskan proses semasa hanya melibatkan aspek perundangan dan sebarang langkah lain hanya akan diputuskan selepas RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) diluluskan.

Namun begitu, Anthony turut menegaskan tidak akan berlaku sebarang pembuangan kakitangan memandangkan kakitangan MAVCOM akan diserap ke dalam CAAM melalui perjawatan baharu yang akan dibuka kelak.

“Kakitangan MAVCOM akan diserap masuk ke dalam CAAM. Keputusan ekonomi akan dibuat oleh CAAM, dan kita akan tawarkan penempatan kepada kakitangan MAVCOM dengan hak untuk menolak tawaran tersebut masih di tangan kakitangan berkenaan.

“Namun, pasti tidak akan ada kakitangan dibuang kerja. Perjawatan baharu akan dibuka dalam CAAM dan pastinya ini memerlukan beberapa bulan untuk proses ini dilengkapkan,” jelasnya.

MAVCOM ditubuhkan untuk mengawal selia perkara ekonomi yang berhubung dengan industri penerbangan awam di Malaysia serta mengadakan peruntukan bagi fungsi dan peraturan dalam perkara yang berkaitan.

CAAM pula bertanggungjawab dalam pengawal seliaan teknikal penerbangan awam negara selaras dengan prosedur teknikal dan keselamatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (IKO).

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat