Timbalan Menteri Gantung Tugas Haziq, Diminta Jawab Surat Tunjuk Sebab

PUTRAJAYA – Muhammad Haziq Abdul Aziz digantung tugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama mulai hari ini.

Timbalan menteri berkenaan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, penggantungan Muhammad Haziq berkuatkuasa serta-merta bermula semalam iaitu pada tarikh 12 Jun 2019.

Beliau berkata, surat tunjuk sebab bertempoh tiga hari telah dihantar kepada Muhammad Haziq untuk beliau menjawabnya kepada kementerian.

Shamsul Iskandar berkata demikian pada sidang media di pejabatnya hari ini dan memandang serius perkembangan terkini melibatkan salah seorang stafnya itu.

“Pelantikan beliau sebagai staf kementerian berdasarkan penilaian semasa soal jawab sesi temuduga, kelayakan akademik serta pengalaman pengalaman kerja yang dilihat bersesuaian dengan skop tugasan yang ditawarkan.

“Justeru, tindakan beliau sangat mengejutkan dan tentunya sama sekali tidak diduga dan di peringkat kementerian segala proses siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan telah dibuat,” katanya lagi.

Menurut Shamsul Iskandar, kementerian tidak akan teragak-agak untuk menamatkan kontrak perkhidmatan Muhammad Haziq jika tiada sebarang maklumbalas yang diterima dalam tempoh yang diberikan.

Beliau berkata demikian berhubung isu video intim melibatkan Muhammad Haziq yang tular sejak Selasa lalu.

Shamsul Iskandar juga secara tegas menolak sebarang bentuk politik kotor yang bertujuan memalitkan imej buruk kepada mana-mana pemimpin atau individu.

Justeru katanya, beliau mengambil sikap bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa perkara itu ada kaitan dengan pihak yang mempunyai agenda politik tertentu dan permainan politik kotor sedemikian tidak sepatutnya ada.

Ahli Parlimen Bukit Katil itu juga menyeru semua pihak agar bersikap tabayyun iaitu mencari kepastian tentang sesuatu perkara sehingga ia terbukti benar tanpa segera menuding jari menghukum mana-mana pihak.

Menjawab mengenai Muhammad Haziq yang pernah berkhidmat dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Nancy Shukri, beliau menegaskan, stafnya itu bertugas sebagai sebagai felo perdana bagi mencungkil bakat anak-anak muda bukan menjadi ahli BN.

Menurut beliau, kali terakhir beliau berhubung dengan Muhammad Haziq pada hari Selasa kerana ada tugas di Myanmar dan beliau hanya pulang ke Malaysia semalam.

“Sebelum saya berangkat dari Yangon, saya teks menerusi WhatsApp meminta Muhammad Haziq datang ke pejabat agar kami berbincang, malangnya tidak ada maklumbalas daripada dia sehingga kini.

“Kalau dia tak jawab surat tuntuk mengikut tempoh tiga hari kita akan ikut prosedur pentadbiran memecat menamatkan kontraknya dan ia tidak memerlukan tempoh lama untuk dilaksanakan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.