Risiko Muflis Lebih Tinggi Jika Malaysia Meminjam Dalam Matawang Yen

KUALA LUMPUR – Malaysia lebih berisiko untuk muflis jika mengambil langkah meminjam dalam mata wang asing yen berikutan kadar tukarannya dengan ringgit yang tidak stabil, kata Ketua Penerangan Pemuda Umno Shahril Hamdan.

Shahril berkata beliau hairan mengapa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memohon pinjaman dalam mata wang Yen dari Jepun untuk menyelesaikan hutang negara, dan bukannya dalam ringgit.

“Pertama, hampir semua hutang kerajaan dalam ringgit. Hanya 2% daripada RM700 bilion hutang kerajaan dalam mata wang asing termasuk yen.

“Kedua, risiko untuk negara muflis lebih tinggi apabila kita meminjam dalam mata wang asing seperti Yen kerana terdedah kepada naik turun kadar tukaran mata wang ringgit-yen dan juga kadar faedah negara Jepun,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.

Shahril turut menegaskan bahawa Malaysia tidak akan muflis jika meminjam dalam mata wang sendiri memandangkan pengeluaran ringgit sendiri dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Jadi tak timbul isu negara akan muflis dengan 98% daripada hutang kerajaan didominasi dalam ringgit,” katanya.

Beliau berkata ini kerana, apabila kerajaan berhutang Bank Negara akan memainkan peranan dalam mencetak ringgit pada bila-bila masa dengan keadaan terkawal.

“Sebab itu teknikalnya, sesebuah kerajaan mana-mana di dunia takkan boleh ‘default’ atau muflis daripada hutang mata wang sendiri,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir menutup lawatan tiga harinya ke Jepun dengan mengumumkan rakan sejawatannya Shinzo Abe akan meneliti permohonan kredit yen daripada Malaysia untuk membantu masalah kewangan negara.

Katanya, bantuan Jepun itu tidak semestinya dapat melangsaikan hutang negara yang mencecah RM1 trilion, namun ia akan dapat membantu usaha melunaskan hutang tersebut.

Shahril dalam komentarnya itu, turut mempersoalkan tindakan Dr Mahathir kerana katanya negara masih mempunyai hutang berbilion ringgit dengan Jepun.

Hutang itu termasuk melibatkan beberapa projek khusus seperti projek pembangunan luar bandar, pembinaan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Empangan Beris dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ketika 1990-an.

Beliau berkata penyelesaian mungkin dapat dilihat sekiranya pinjaman daripada Jepun dilakukan melalui projek pembangunan.

“Harap ada penjelasan pakar-pakar ekonomi kerajaan yang bijaksana. Majlis Penasihat hebat-hebat belaka. Cuba jelaskan,” sindirnya.

Shahril merujuk kepada Majlis Penasihat Kerajaan lantikan Perdana Menteri yang dipengerusikan Daim Zainuddin dan dianggotai Zeti Akhtar Azizi, Hassan Merican, Robert Kuok dan Dr Jomo Kwame Sundaram. – MalaysiaInsight

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.