Wanita Jumpa Mayat Kekasih Yang Dikerat Dalam 3 Guni


ALOR SETAR — Kecurigaan teman wanita seorang buruh Bangladesh di Kedah membawanya ke lokasi mayat kekasihnya itu yang dikerat-kerat dan dimuatkan ke dalam tiga guni.

Wanita 31 tahun itu, warga tempatan, membuat aduan polis semalam setelah mengesyaki Azad Late Mofyanuddin, 38, hilang sejak Jumaat, lapor Metro.

Sehubungan itu, dengan bantuan wanita itu, yang menyimpan salinan kunci, polis berjaya masuk rumah tersebut di Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani dan terhidu bau busuk. 

Terdapat kesan cecair kehitaman yang mengalir dari belakang kabinet dapur berkenaan dan tiga guni, kata ketua polis Kedah Datuk Asri Yusoff di sini. 

“Ketika guni itu dibuka, polis mendapati terdapat bahagian badan manusia yang dipotong menggunakan senjata tajam,” katanya.

“Kita percaya mangsa sudah dibunuh dan dikerat di dapur berkenaan sejak empat hari lalu iaitu pada 10 Jun.”

Tambahnya, bahagian jasad itu dibawa ke hospital untuk bedah siasat tetapi polis belum mengenal pasti berapa bahagian yang dikerat serta motif pembunuhan.

Kata Asri lagi, polis sedang menjejak dua rakan serumah mangsa warga Bangladesh yang menghilangkan diri sejak insiden itu.

Seorang yang dikenali Zul, 37, bekerja sebagai pembantu di kedai makanan sejuk beku di Pekan Lama Sungai Petani. 

Seorang lagi dipanggil Nur, 50, yang bekerja kilang di Bakar Arang, Sungai Petani.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.