Hukuman Belum Diputuskan Terhadap Shell Terlebih Caj Harga Petrol


PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya belum muktamadkan hukuman terhadap Shell susulan caj RM4.09 bagi seliter petrol, Mei lalu.

Beliau berkata, kes tersebut terlalu rumit untuk dijatuhkan hukuman dan memerlukan penelitian.

“Kes ini masih lagi dalam siasatan sebab kita memerlukan dokumen lengkap serta maklumat lain.

“KPDNKK tidak boleh terus hukum sekiranya berlaku kesalahan sebab kes ini terlalu rumit,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

23 Mei lalu, KPDNKK memaklumkan akan mengumumkan hukuman yang dikenakan kepada Shell dalam tempoh seminggu selepas mendengar penjelasan syarikat itu berhubung caj RM4.09 seliter petrol RON95 pada 19 Mei selepas ia tersebar di media sosial.

Sementara itu, menurut laporan FMT, Shell memberitahu kesilapan harga RM4.09 selama sejam setengah pada awal pagi Khamis itu membabitkan 160 transaksi dan berjanji memulangkan lebihan wang yang dibayar pelanggan.

Mengulas lanjut, Hamzah menegaskan mana-mana syarikat minyak yang melakukan kesalahan sehingga membebankan pengguna tidak akan terlepas daripada menerima hukuman.

Katanya, pihaknya akan ambil tindakan kepada mana-mana syarikat minyak yang melakukan kesalahan.

Sehubungan itu, Hamzah berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha stesen minyak bagi menetapkan harga baru dalam menentukan kadar harga semasa petrol.-SuaraTV


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.