Video : Denda RM100 Ribu Jika Jual Melebihi Harga Kawalan

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya 2017.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata,
Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan dan meletakkan tanda harga warna khas merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain,”katanya.

“Mereka boleh dikenakan penalti bagi kesalahan menjual batangan terkawal melebihi harga maksimum.

“Bagi individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala Syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Manakala bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga bewarna merah jambu bagi barangan harga terkawal individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun RM5,000 manakala bagi syarikat pula, boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,”katanya, pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menyenaraikan 21 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya 2017 bermula 17 Jun hingga 30 Jun.

Katanya, tempoh pelaksanaan adalah selama 14 hari bagi perayaan Aidilfitri ini dan akan berkuatkuasa pada 8 hari sebelum perayaan yang bakal dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Penentuan harga maksimum telah dibuat diperingkat pengeluaran bagi ayam dan telur ayam, borong dan runcit dalam rantaian pengedaran mengikut kewajaran dan kesesuaian.

“Penentuan ini dibuat agar penguatkuasaan kawalan harga adalah lebih berkesan dan penawaran harga yang berpatutan untuk barangan perlu bagi manfaat pengguna dan peniaga,”katanya.

Menurutnya, harga maksimum ditentukan bagi 21 barangan harga terkawal di 91 buah daerah di semenanjung, 32 daerah di Sarawak, 27 buah daerah di Sabah dan sebuah daerah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Tambahnya, pegawai penguatkuasa KPDNKK akan berada dilokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar pagi, pasar tani bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Dalam pada itu, menurutnya, bagi operasi pemantauan kawalan harga barangan pihaknya menerima sedikit sahaja laporan kes dan pengurangan aduan itu merupakan pertama kali berlaku sepanjang operasi pemantauan yang pernah dijalankan sebelum ini.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.