UNIC Selesa Bertiga, Tiada Perancangan Tambah Ahli

 

KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid popular tanah air, UNIC kini lebih selesa bertiga dan tidak mempunyai perancangan untuk menambah ahli kumpulan.

Menurut kumpulan yang terkenal dengan lagu Ainul Mardhiah, untuk mencari ahli baharu bukanlah satu tugas mudah dan terpaksa melalui banyak prosedur.

“Alhamdulillah, UNIC hari ini sudah menapak lebih 15 tahun lamanya. Buat masa ini, kami selesa bergerak secara bertiga. Tak ada perancangan untuk mencari ahli kumpulan yang baru.

“Lagipun bukan mudah untuk mencari ahli baru. Banyak proses perlu dilalui. Apa yang kami miliki ini barangkali sudah melengkapkan muzik yang dibawakan,” kata Bazli.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2002 ini kini dianggotai Bazli Hazwan, Mohd Fakhrul Radhi Khamarudin dan Wan Najdi Wan Mohd Noh.

Setelah menjuarai program Gema Gegar Vaganza (GGV), mereka ingin kumpulan ini  lari daripada pandangan klise masyarakat terhadap kumpulan nasyid yang sering dikaitkan dengan imej klise seperti berjubah.

“Bagi yang mengikuti perkembangan kami, pendekatan yang kami gunakan cukup berbeza. Kalau boleh, mahu orang ramai lebih dekat dengan kami untuk sampaikan mesej dalam lagu.

“Kami mahu buktikan penyanyi nasyid juga versatil,” ujarnya.

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.