Tren Monorel Perlu 13 Pengubahsuaian Kritikal – Rapid

KUALA LUMPUR – Sebanyak 13 pengubahsuaian kritikal dikenal pasti Rapid Rail Sdn Bhd dan Scomi Engineering Berhad yang berkaitan keselamatan yang perlu dilakukan terhadap tren monorel empat gerabak sebelum mengembalikannya untuk diservis.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman berkata dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam, setakat 25 Mei lepas, Scomi mengenal pasti 26 pengubahsuaian yang perlu dibuat terhadap tren berkenaan

Katanya, daripada pengubahsuaian yang perlu dilakukan itu, 13 adalah begitu kritikal demi keselamatan dan perlu dilakukan sebelum tren berkenaan dikembalikan untuk diservis.

“Walaupun Scomi mengisytiharkan tren monorel empat gerabak itu layak beroperasi, tetapi sebagai pengendali rel bandar yang bertanggungjawab, profesional dan berpengalaman, Rapid Rail tidak akan mendedahkan keselamatan orang ramai kepada sebarang risiko,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, Rapid Rail akan hanya menggunakan kembali tren berkenaan sekiranya mendapat pengesahan daripada Scomi.

Setelah jurutera Scomi mengesan kekurangan yang terdapat pada tren itu dan mencadangkan beberapa pengubahsuaian yang perlu dilakukan, tetapi ia tidak segera dilakukan dan ini meningkatkan risiko terhadap keselamatan penumpang.

“Perkara yang menjadi keutamaan segera Rapid Rail ialah memastikan Scomi, yang memperakui tentang pelbagai pengubahsuaian yang perlu dilakukan terhadap tren monorel empat gerabak itu, melakukannya dengan segera dan teliti.

“Tiada pihak yang lebih penting daripada orang ramai dan tiada perkara yang lebih penting daripada keselamatan pelanggan kami dan orang ramai,” katanya.

Kenyataan ini dikeluarkan  sebagai respons terhadap laporan media yang memetik kenyataan Scomi tentang keadaan tren monorel dan kelayakannya untuk beroperasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.