Tindakan Diambil Berhubung Isu Minta Bayaran Ketika Bantuan Kecemasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, Kementeriannya akan berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi mencari penyelesaian isu bayaran ketika berlaku kemalangan.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat tindakan mana yang boleh diambil ke atas operator kren dan kereta tunda kerana ia membabitkan perdagangan ketika berlaku kecemasan.

“Kita juga akan melihat kaedah terbaik supaya penyedia perkhidmatan ini tidak perlu menunggu pengesahan bayaran yang akan menyebabkan usaha menyelamat bagi kes kecemasan menjadi lewat,”katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa bersama media pada Isnin.

Beliau turut melahirkan kesedihan dan menyifatkan keadaan kecemasan seperti itu perlu wujud keikhlasan dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Sebelum ini, anggota bomba dan penyelamat mengambil masa sehingga lima jam untuk mengeluarkan enam mangsa yang rentung daripada remukan kenderaan yang terbabit dalam nahas di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong

Sebelum itu, difahamkan pemilik treler dari Kemayan serta pengendali kren juga enggan bekerjasama bagi proses itu kerana merasakan tiada pihak akan membayar perkhidmatan mereka.

Keadaan itu menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan pelbagai cara untuk mengalihkan treler yang menghempap Proton Exora, termasuk cuba menggunakan khidmat kenderaan berat lain seperti lori tangki dan lori ikan, namun tidak berhasil.

Dalam kejadian tersebut, Osman Mohamed Taip, 31 dan isterinya, Rosniza Othman, 32, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta iaitu Perodua Myvi, Proton Exora, Toyota Vios serta sebuah treler pada jam 2.20 petang Ahad.

Kemalangan itu turut menyebabkan enam sekeluarga berusia antara tujuh tahun dan 51 tahun, rentung apabila Proton Exora mereka terbakar selepas dihempap treler berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.