Remaja Dibelasah Mati Otak, Dubur Dirodok Objek Tumpul

GEORGE TOWN — Kertas siasatan berhubung kes seorang remaja dipukul sehingga cedera parah oleh sekumpulan remaja lelaki di Jalan Kaki Bukit di sini, awal pagi Sabtu lalu hampir siap.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ,ACP Anuar Omar berkata, sehingga kini polis telah mengambil keterangan daripada sembilan individu termasuk doktor yang merawat mangsa.

“Reman terhadap lima remaja berusia 17 hingga 19 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan kes itu tamat hari ini dan kami telah mendapatkan perintah sambung reman iaitu sehari bagi dua pelajar tingkatan lima manakala tiga rakan mereka sehingga Jumaat ini.

“Polis akan lengkapkan siasatan dengan merekodkan beberapa lagi keterangan saksi dalam tempoh terdekat sebelum kami serahkan kertas siasatan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Bernama.

Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun cedera parah diserang sekumpulan lelaki manakala rakannya berusia 19 tahun sempat melarikan diri untuk meminta pertolongan.

Anuar berkata mangsa masih dirawat di Hospital Pulau Pinang dan doktor mengesahkan mangsa mati otak.

“Doktor memaklumkan kesan kecederaan pada dubur mangsa adalah kerana dimasukkan objek tumpul seperti kayu atau botol dan kesan terbakar di belakang badan disebabkan dicucuh dengan puntung rokok,” katanya.

Beliau turut meminta keluarga mangsa membuat laporan polis jika diugut oleh suspek yang ditahan atau keluarga mereka seperti didakwa keluarga remaja lelaki berkenaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain Anuar berkata beberapa lelaki daripada tujuh suspek yang direman dalam kes pemandu Uber cedera dipukul sekumpulan lelaki selepas didakwa mencabul wanita Vietnam di Paya Terubung di sini, baru-baru ini, merupakan anggota kumpulan kongsi gelap.

Beliau berkata suami wanita itu menggunakan khidmat kumpulan kongsi gelap untuk memukul pemandu Uber berusia 29 tahun itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang Selasa lepas, pemandu berkenaan dibelasah lebih 10 lelaki selepas didakwa mencabul wanita Vietnam itu ketika membawa wanita berkenaan dari Lintang Paya Terubong ke Agryll Road, Georgetown. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.