Raja Afiq Fobia Jika Bentuk Badannya Kembali Kepada Asal


Mempunyai berat badan yang berlebihan sejak kecil membuatkan pelakon Raja Afiq fobia jika bentuk badannya kembali kepada asal.

Menurut Afiq, dia mengambil masa selama dua tahun untuk mendapatkan bentuk badan idamannya dan dia sering menghabiskan masa lapangnya di gim.

“Boleh dikatakan gim sudah seperti rumah kedua saya. Ada sahaja waktu lapang, memang saya akan ke sana.

“Jujurnya, saya obses dengan senaman termasuk badan sendiri kerana ingin memastikan ia mempunyai bentuk menarik dan saya tidak mahu kembali gemuk seperti dahulu.

“Cukup lah saya berbadan besar dari kecil. Sekarang adalah masa untuk saya menjaga badan pula,” katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, faktor kerjaya juga merupakan pemangkin semangat untuk dia terus kekal dengan bentuk tubuhnya sekarang.

“Bukan sahaja takut kembali jadi macam dulu tetapi ia juga memberi kesan kepada karier saya sekiranya saya tidak jaga badan.

“Semasa mahu kurus, saya mengambil masa dua tahun dan ia bukan satu proses yang mudah untuk dilakukan,” katanya.

Selain gim, Afiq turut melakukan aktiviti riadah dan bersukan seperti bermain futsal dan dia juga sentiasa memilih makanan yang seimbang bagi memastikan dietnya berjalan lancar.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.