Pimpinan PAS Tidak Waras Jemput PKR Kekal Dalam Kerajaan Kelantan

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustapa menyifatkan pimpinan Pas sudah tidak waras apabila mahu terus kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri tersebut.

Mohd Sukirman mempersoalkan pelawaan tersebut walhal sudah diketahui kerjasama politik antara kedua-dua parti sudah tiada susulan keputusan Majlis Syura yang menamatkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR dan juga DAP pada Mei lalu.

“Bagaimana kerjasama dalam kerajaan boleh diteruskan kerana kerjasama politik sudah terbatal sama sekali dan presiden Keadilan sendiri melalui kenyataan terbaru semalam sudah memutuskan akhir Julai adalah tarikh untuk semua lantikan politik di kelantan melepaskan jawatan mereka,” Sukirman yang dipetik berkata.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengalu-alukan wakil PKR untuk terus kekal dalam pentadbiran kerajaan Kelantan.

Jelas Sukirman lagi, PKR kini sudah berada dalam gabungan Pakatan Harapan dan mustahil boleh bekerjasama dengan Pas yang tidak menyertai gabungan tersebut dan mahu meneruskan kerjasama.

“PKR kini berada dalam Pakatan Harapan, iaitu satu gabungan rasmi. Perkara ini mustahil. Walau apa pun, kita masih menghormati pelawaan tersebut, tetapi kita ikut keputusan pimpinan pusat.

“Kedua-dua pihak perlu lebih realistik tentang landskap politik mutakhir ini, apatah lagi pilihan raya dikatakan semakin dekat. Kerajaan negeri sebelum ini tidak menyambung lantikan politik beberapa pimpinan peringkat negeri, malah ia tidak sepatutnya berlaku jika benar masih mahu bersama Keadilan,” katanya.

Pada 11 Mei, Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa Pas menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, ia termasuk dalam kerajaan negeri Selangor, selepas Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar.

Badan tertinggi parti itu meluluskan usul supaya pimpinan parti menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti apabila PKR dilihat tidak menghormati Pas sebagai rakan sekutu mereka. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.