Perlu Hadapi Rintangan Dengan Tenang


KUALA LUMPUR – Banyak rintangan dan dugaan yang perlu dihadapi oleh dua pasangan popular drama rantaian Hero Seorang Cinderella, Fattah Amin dan Fazura arahan Micheal Ang.

Pelbagai komen dan cerita yang kurang enak mengenai dua orang pelakon popular ini.

Namun, mereka tidak melatah dalam menghadapi rintangan ini, sebaliknya menghadapinya dengan tenang.

Menurut Fazura, setiap manusia pastinya akan diuji, namun apa yang boleh kita lakukan ialah berdoa dan perlu bijak mengawal setiap perkara dengan baik.

 

 

Fazura berkata, dia percaya setiap manusia pasti akan diuji sebelum menikmati perkara yang baik dalam hidup.

“Saya rasa sebelum sesuatu perkara nak jadi baik pasti ada dugaan dan halangan yang perlu ditempuh. Saya selalu pesan kepada Fattah bahawa kita sukar untuk membaca isi hati dan niat seseorang.

“Jadi sebagai manusia, kita hanya mampu bersabar dan reda dengan setiap ujian. Selain itu, sebagai selebriti kita perlu bijak mengawal setiap perkara dengan baik supaya tidak disamakan dengan mereka yang menyebarkan cerita buruk. Ini kerana setiap perbuatan seseorang adalah refleksi dirinya,” katanya.

Dalam pada itu, Fattah Ain pula menyifatkan bahawa beliau terkilan apabila ada pihak yang membanding-bandingkan ketika beliau bergandingan dengan Fazura.

 

“Budaya membandingkan drama adalah perkara yang tidak sihat dalam industri. Setiap naskhah dihasilkan dengan sehabis baik oleh pelakon dan kru produksi. Tambahan pula, setiap drama mempunyai kekuatan dan keistimewan masing-masing. Bagaimana produk tempatan mahu ke depan jika kita tidak sokong?

“Selain itu, saya juga kesal apabila baru-baru ini, akaun Instagram ‘klien’ saya digodam ketika majlis sedang berlangsung. Tergamak mereka menutup periuk nasi orang.

“Saya kecewa kerana kami tidak mengganggu sesiapa dan hanya melaksanakan tugas yang diberikan,” ujarnya.

Mengulas lanjut isu kemesraan mereka dalam drama Hero Seorang Cinderella, Fattah enggan mengulas isu tersebut namun menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai.

“Kemesraan yang ditonjolkan dalam drama Hero Seorang Cinderella adalah sebahagian daripada tugas kami. Jadi terpulang kepada umum untuk menilainya.

“Sebagai pelakon, saya sudah lakukan sehabis baik untuk memastikan drama ini berjaya,” katanya.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.