Penduduk Rasa ‘Ajaib’ Kurma Berbuah Lebat

BALING — Sebatang pokok kurma daripada 40 pokok yang ditanam di kawasan tebing Sungai Baling dalam kawasan milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejak tujuh tahun lepas kini berbuah lebat dan sudah berwarna kekuningan yang hampir masak.

Ini adalah kali kedua pokok kurma yang ditanam di sini mengeluarkan buah selepas kali pertama sebatang pokok yang terletak berdekatan Masjid Ridzuaniah di sini berbuah pada 1984, lapor Bernama.

Ketika itu, jawatankuasa masjid berkenaan telah menghadiahkan semayang buah berkenaan yang masak kepada bekas perdana menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Bagaimanapun, pokok kurma itu dilaporkan tumbang selepas mengeluarkan buah beberapa kali.

Kini, pokok kurma yang mengeluarkan buah kali ini turut mendapat perhatian masyarakat di sini termasuk masyarakat Cina yang mana pokok kurma ini ditanam sebaris di hadapan bangunan perniagaan mereka.

Sehubungan itu, seorang peniaga kedai memperbaiki basikal yang dikenali sebagi Pin Tau, 61, berkata sebelum ini beberapa batang pokok itu yang terletak di hadapan kedainya mengeluarkan mayang yang banyak, namun tidak berbuah dan kering begitu saja.

“Ini saya kira ajaiblah bila pokok ini sudah berbuah dan hampir masak,” katanya.

Bagi Shah Bari Din, 66, pula turut merasa hairan apabila melihat pokok tersebut mula mengeluarkan buah yang lebat terutama di bulan Ramadan ini.

“Sebelum ini saya hanya melihat buah kurma ini ketika di Makkah saja dan tak sangka di Baling pun boleh berbuah lebat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.