Pasangan Rentung Dalam Kemalangan Pernah Rancang Adakan Kenduri Arwah

BACHOK – Sepasang suami isteri serta empat orang anak yang rentung dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Negeri Sembilan semalam, pernah merancang mengadakan kenduri arwah di kampung mereka sempena Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini.

Abang ipar kepada Allahyarham Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, Azmi Hamzah, 59, berkata keluarga terbabit yang tinggal di Putrajaya bercadang pulang ke kampung di Jelawat di sini, selama seminggu bermula sehari menjelang hari raya.

“Pada majlis kenduri itu, mereka berharap akan dapat beramah mesra dengan sanak saudara yang lama tidak berjumpa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Jelawat hari ini.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, lapan maut, dengan enam daripada keluarga berkenaan rentung, manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan sebuah treler di KM25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Negeri Sembilan.

Mereka yang maut ialah enam sekeluarga itu yang menaiki kenderaan Proton Exora iaitu pemandu kenderaan berkenaan Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51; dan isteri Mas Noraida M Yusoff, 45.

Empat anak mereka iaitu Wan Muhamad Muhaimin, 22; Wan Nor Atirah, 18; Wan Muhamad Amar Haziq, 13; dan Wan Nor Alisha, 7.

Dua mangsa lain yang maut ialah pemandu Perodua Myvi Osman Mohamed Taip, 31 dan isteri Rosniza Othman manakala anak kepada pasangan itu Muhammad Alifthaqif Osman, 3, mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kuala Pilah.

Azmi berkata Wan Mohd Fauzi merupakan seorang kakitangan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya manakala isterinya Mas Noraida bertugas di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Putrajaya.

Katanya ketika kejadian keluarga terbabit dalam perjalanan untuk menghantar Wan Nor Atirah ke Kolej Vokasional Kuantan, Pahang untuk menyambung pelajaran.

Beliau berkata kesemua enam mayat mangsa yang dijangka tiba dari Hospital Jempol awal pagi esok akan disembahyangkan di Masjid Naim, Jelawat di sini, sebelum disemadikan dalam satu liang lahat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Jelawat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.