Nasyrul Quran Wakaf 300,000 Naskhah Al-Quran Setahun – TPM

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak berhasrat hendak bersaing dengan mana-mana negara apabila mewujudkan Nasyrul Quran iaitu kilang percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia.

Sebaliknya, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan Malaysia yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan berasa bertanggungjawab untuk menyumbang kemajuan umat menerusi kitab al-Quran.

Kata beliau, kerajaan sentiasa menghormati percetakan terbesar dunia di Makkah dan negara serantau.

“Kita bukan mahu riak atau takbur untuk meletakkan Malaysia dalam mercu tanda percetakan al-Quran, tetapi selaras dengan pendekatan Wasatiyyah kita dalam pemerintahan dan pentadbiran, kita juga mahu turut menyumbang kepada pembangunan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis pelancaran Wakaf al-Quran peringkat kebangsaan 2017 dan perasmian Operasi Percetakan al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14, Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Menurut Ahmad Zahid, dengan operasinya kilang percetakan Nasyrul Quran di Presint 14, Putrajaya, kira-kira satu juta naskhah al-Quran akan dicetak setahun.

Katanya, daripada jumlah itu, 70 peratus atau kira-kira 700,000 naskhah adalah untuk kegunaan umat Islam di negara ini, manakala 30 peratus atau kira-kira 300,000 naskhah lagi akan diwakafkan kepada negara yang mempunyai minoriti umat Islam.

Beliau berkata, Nasyrul Quran itu juga sebagai persediaan membekalkan al-Quran untuk keperluan umat Islam di seluruh dunia apabila menjelang tahun 2050 jumlah penduduk bertambah kepada sembilan bilion orang.

“Daripada sembilan bilion itu, 33 peratus atau tiga bilion penduduk dunia adalah beragama Islam.

“Kita membuat perkiraan, tidak semua daripada umat Islam di dunia ini mampu membeli al-Quran dan kita akan wakafkan kepada mereka yang memerlukannya,” ujar beliau.

Kata Ahmad Zahid, pusat percetakan Nasyrul Quran ini diletakkan di bawah naungan kerajaan dengan kerjasama Yayasan Restu, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.