Kejayaan Terbaru Ziyad Di Bangkok Malukan Atlet Normal

KUALA LUMPUR – Jaguh paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli memperagakan tenaga luar biasa apabila memenangi pingat emas acara lontar peluru pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand di Kompleks Sukan Universiti Thammasat, Bangkok hari ini.

Kejayaan pemenang emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu sememangnya menakjubkan kerana berjaya menewaskan atlet normal sekali gus memberi amaran betapa penampilannya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tidak boleh di pandang sebelah mata.

Muhammad Ziyad memastikan emas menjadi miliknya pada lontaran kelima apabila melontar sejauh 17.07 meter (m). Sebelum itu, dia memulakan cabaran dengan melontar sejauh 16.67m pada lontaran pertama, 17m (kedua) ,15.83m (ketiga) dan 16.07m (keempat).

Menariknya, catatan yang dilakukan Ziyad itu sudah mengatasi catatan pemenang perak Sukan SEA Singapura 2015, Chatchawal Polyiam dari Thailand yang melakukan lontaran sejauh 17.05m pada temasya dwitahunan itu.

Dia juga menewaskan pemenang pingat gangsa di Sukan SEA Singapura 2015 yang juga rakan senegara, Adi Aliffuddin Hussin yang sekadar mengakhiri saingan di tempat keempat (15.96m).

Tempat kedua dan ketiga pula masing-masing menjadi milik atlet Thailand dengan melakukan lontaran 16.80m dan 16.53m.

Sementara itu, dalam aksi final 400 meter (m) lari berpagar, Nurul Faizah Asma Mazlan turut menjadi penyumbang pingat kepada skuad olahraga negara apabila berjaya menamatkan saingan di tempat kedua dengan kepantasan 1:02.65 saat (s).

Emas acara itu dimenangi atlet tuan rumah yang merakam kepantasan 1:02.07s dan gangsa juga menjadi milik atlet Thailand (1:03.39s). – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.