EU Setuju Sambung Semula Rundingan FTA Dengan Malaysia

KUALA LUMPUR – Rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Eropah (EU) yang terhenti, akan disambung semula tahun ini, kata Duta Besar yang juga Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo-Fernandez.

Beliau berkata Ketua Perunding Negara Anggota EU akan membuat pelancaran semula cadangan rundingan semula itu bulan depan di Brussels, Belgium, bagi menentukan ‘bila dan bagaimana’.

Castillo-Fernandez berkata Malaysia dan EU mempunyai asas kukuh untuk memuktamadkan rundingan dalam tempoh masa yang munasabah.

“Apabila dipulihkan, kami akan menyelesaikannya dalam tempoh masa yang munasabah.

“Kami tidak memulakannya (FTA) dari awal, tetapi bersandarkan latarbelakang rundingan yang sudah berlangsung sejak lima tahun lepas, ini pasti lebih mudah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Anugerah Eropah bagi Kelestarian 2017 di sini hari ini.

Sebagai platform penyokong bagi perniagaan Eropah di Malaysia, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Eropah di Malaysia, Dewan Perniagaan dan Industri EU-Malaysia menganjurkan anugerah itu bagi menggalakkan kelestarian dan meningkatkan lagi kecemerlangan perniagaan di Malaysia.

Malaysia memulakan rundingan perjanjian perdagangan dengan EU sejak 2010, namun rundingan terhenti apabila kedua-dua pihak ‘kehabisan’ pilihan ketika itu.

Susulan itu, persetujuan dicapai bahawa rundingan itu dipulihkan semula selepas memperoleh mandat dan /atau fleksibiliti oleh kedua-dua pihak.

Beliau berkata arah tuju masa depan perdagangan EU-Malaysia sangat positif.

“Perdagangan dua hala semakin berkembang. EU ialah rakan dagang ketiga terbesar dan pelabur terbesar di Malaysia, dan menerusi FTA itu, perdagangan sudah pasti akan terus meningkat. Ini merupakan kedudukan sama-sama menang untuk kedua-dua pihak. Kami tidak sabar lagi menunggu rundingan rasmi dimulakan pada bulan depan,” katanya.

Mengenai minyak sawit, Castillo-Fernandez berkata wujud perbahasan yang berbeza di setiap negara di Eropah, yang sudah berlangsung sekian lama tanpa penyelesaian muktamad.

“Ia datang dan pergi, Sudah pasti ini sangat jelas dan ada usaha yang dilakukan oleh Malaysia, dan kami wajar memanfaatkan usaha ini dan bekerja bersama-sama untuk pengeluraan minyak sawit lestari selain kayu, getah dan komoditi lain.

“Perusahaan hari ini mengaplikasikan kelestarian alam sekitar dan sosial serta ekonomi dalam perniagaan mereka,” katanya.

Sejak 2014 hingga 2016, perdagangan dengan EU mencatatkan imbangan perdagangan yang positif iaitu masing-masing sebanyak RM1.7 bilion, RM9.3 bilion dan RM10.6 bilion. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.