Anggota RELA Hajat Buka Pintu Kereta TPM Sebelum Terlibat Nahas

KUALA KANGSAR — Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi menziarahi jenazah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Zainul Fuad Zahar yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Jalan Manong-Kuala Lumpur, dekat Kampung Ketior, di sini.

 

Zainul, 50, yang sudah 10 tahun berkhidmat bersama Rela, maut dalam kejadian pukul 5.45 petang tadi selepas motosikalnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta Exora.

 

Timbalan perdana menteri, yang sebelum ini menghadiri majlis sembang santai di Kampung Bendang Panjang malam tadi, terus bergegas ke hospital selepas dimaklumkan perkara berkenaan.

 

Ahmad Zahid meluangkan masa 15 minit menziarahi jenazah di rumah mayat hospital dan turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

 

Menurut pegawai Rela daerah Kuala Kangsar, Jasni Md Isa, mangsa mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

 

Menurut Jasni, mangsa yang masih belum berkahwin itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas bertugas dalam satu Program Rela bersama pemimpin yang dihadiri Ahmad Zahid pada 3 petang semalam.

 

Jasni berkata pada majlis itu (program Rela), Allahyarham meminta padanya agar membenarkannya membuka pintu kereta yang dinaiki timbalan perdana menteri, dan hajatnya tercapai, katanya.

 

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan 10 pagi ini di Tanah Perkuburan Jalan Baharu Kuala Kangsar. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.