TunM Tiada Hak Berdebat Dengan PM Kerana Dia Rakyat Biasa – Nazri Aziz

Kuala Lumpur – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiada hak untuk meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berdebat dengannya kerana beliau hanyalah rakyat biasa.

 

Menurut laporan The Star Online, ini adalah pendapat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Nazri Aziz, yang berkata Najib tidak harus merendahkan dirinya ke tahap Dr Mahathir.

 

“Saya tidak mahu PM saya turunkan dirinya kerana dia adalah PM tetapi Dr Mahathir hanyalah rakyat biasa.

 

“Jadi mengapa PM saya perlu turun ke tahap rakyat biasa? Beliau tidak mempunyai locus standi untuk berdebat dengan Najib. Bagi saya,sudah tentu ia bukan satu idea yang baik,” katanya sambil menambah sudah ada satu tempat untuk berdebat iaitu Parlimen.

 

Nazri turut berkata Najib tidak harus meletakkan jawatan kerana beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan.

 

“PM yang sedia ada tidak perlu meletakkan jawatannya melainkan jika beliau melakukan suatu kesalahan, meninggal dunia atau sedang disiasat . Najib tidak mengalaminya, dan oleh itu, ia adalah permintaan yang tidak masuk akal, “kata Nazri.

 

Dr Mahathir, sebelum ini menyatakan kesediaannya pada bila-bila masa untuk berdebat secara terbuka dengan Najib berhubung pelbagai isu termasuklah isu 1MDB dengan disaksikan orang ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.