Penculik Warga Filipina Guna PATI Jadi Tali Barut Di Sabah

Kunak (Sabah) – Kumpulan penculik di selatan Filipina dipercayai menggunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai `tali barut’ untuk melakukan jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

 

Penolong Ketua Staf Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Supt. Che Aris Bakar berkata, taktik menggunakan tali barut itu adalah bagi mendapatkan tebusan.

 

Beliau berkata, secara tradisinya sasaran utama kumpulan penculik bertumpu kepada mereka yang menjalankan aktiviti perusahaan ternakan ikan dalam sangkar, perusahaan, rumpai laut, nelayan dan pelayaran.

 

Namun, katanya, sasaran kini turut melibatkan kawasan di darat seperti restoran.

 

“Penculikan yang berlaku (di sebuah restoran) di Sandakan dipercayai didalangi oleh orang dalam yang serba mengetahui keadaan dan individu yang disasarkan.

 

“Jelas sekali, Esscom juga berdepan penjenayah atau PATI yang sudah berada di Sabah yang bertindak sebagai pemberi maklumat,” katanya lapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Program Pertemuan Esscom Bersama Komuniti Nelayan Kunak pada Sabtu.

 

Pada 14 Mei lepas, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan dan menculik seorang pelanggan lelaki dan seorang wanita yang merupakan kakak ipar pengurus restoran itu dengan disaksikan kira-kira 100 pelanggan termasuk kanak-kanak. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.