Pecat Hakim: TunM Dakwa Ia Salah Almarhum Sultan Johor

Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa, beliau terpaksa mengambil tanggungjawab atas pemecatan Tun Salleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara pada 1988.

 

Bercakap dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur hari ini, Dr Mahathir berkata, Yang di-Pertuan Agong ketika itu mahu Salleh disingkirkan.

 

Katanya, ia berpunca daripada aduan yang dibuat Salleh kerana menulis surat kepada semua Sultan mengenai Agong ketika itu yang didakwa “terlalu bising dan mengganggu rumahnya”.

 

Agong ketika itu ialah almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar Sultan Ismail.

 

“Sultan Johor tidak pernah suka pada Salleh (kerana) selalu tulis surat aduan mengenai bunyi bising dari istana.

 

“(Tindakan) itu tak betul kerana sebagai seorang penjawat jawatan kanan di dalam kerajaan beliau sepatutnya terus berjumpa dengan (Almarhum) Tuanku .. tapi Salleh menulis surat kepada semua Sultan dan Raja-Raja Melayu.

 

“(Disebabkan itu) Sultan Johor yang pada ketika menjawat jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong rasa tersinggung dan merasakan tindakan itu tidak sepatutnya berlaku dan mengarahkan saya agar membuang Salleh” kata Mahathir.

 

Menurut Mahathir lagi, beliau kemudiannya membawa perkara itu di dalam mesyuarat kabinet namun memutuskan Salleh tidak boleh dibuang dengan sewang-wenangnya.

 

“Kita tidak boleh membuang seseorang dengan begitu sahaja.

 

“Isu ini perlu diputuskan melalui Tribunal dan saya maklumkan pada Agong (dan) baginda bersetuju dan menitahkan agar sebuah tribunal diwujudkan” katanya lagi.

 

 

Dr M Dijadikan Sebagai ‘Pengadu Utama’

 

Walau bagaimanapun menurut Mahathir apabila tribunal yang ditubuhkan itu telah dibentuk, Peguam Negara (pada ketika) telah menamakan beliau sebagai ‘Pengadu Utama.

 

“Dia (peguam negara) tidak mahu meletakkan nama Agong di dalam Tribunal tersebut jadi dia meletakkan nama saya kononnya saya mahu menyingkirkan Salleh.

 

“Beliau turut mengunakan ucapan Salleh yang menyalahkan saya, sedangkan saya tidak mengetahui mengenainya” katanya lagi.

 

Pentadbiran Mahathir sebelum ini didakwa sebagai bertangungjawab menyekat kuasa dan peranan institusi perundangan negara.

 

Mahathir sebelum ini dikatakan membalas dendam dengan memecat Salleh pada tahun 1988 kerana keputusannya mengharamkan UMNO sebagai sebuah parti politik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.