PasMa Himpun NGO, Bentuk Parti Politik Ganti PAS

Shah Alam – Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa)mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baharu bagi menggantikan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR).

 

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, PasMa kekal sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun mereka akan menjadi perancang utama untuk menyatukan NGO pro Pakatan Rakyat (PR) yang lain bagi menubuhkan sebuah parti baru.

 

 

Ia dijangka akan dibentuk selepas Aidilfitri.

 

Tindakan itu dibuat susulan dasar parti sekutu dalam PR yang dianggapnya sudah terkubur selepas Muktamr Pas ke-61, menerima usul tanpa bahas parti itu untuk memutuskan hubungan politik dengan DAP dalam PR.

 

“Dengan senario politik yang berlaku dalam PR yang telah dibahaskan AJK PasMa setiap negeri, maka PasMa telah mengambil ketetapan untuk membuat keputusan bahawa parti politik baharu perlu ditubuhkan.

 

“Peranan PasMa dalam parti politik ini (baharu) ialah untuk memastikan kesinambungan peranan PAS dalam komponen Pakatan Rakyat sepertimana persetujuan yang dibuat sebelum krisis,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat PasMa di Shah Alam pada Sabtu.

 

Katanya, parti baru itu akan dbentuk melalui sebuah jawatankuasa penaja yang dianggotai oleh pelbagai NGO pro Pakatan.

 

Phahrolrazi menambah, pihaknya turut mencadangkan pembentukan PR baru perlu disertai DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin Pas pro pakatan yang tewas dalam pemilihan muktamar Pas lalu.

 

“Saya jangkakan dalam sebulan ini kita akan mengadakan perbincangan dengan parti komponen lain dan NGO pro pakatan.

 

“Sebelum ini kita pernah membuat rundingan tak rasmi (DAP dan PKR), selepas ini kita akan lakukan secara rasmi untuk membentuk PR baru,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.