Mustafa Ali Digugurkan Sebagai SU Agung PAS

Kota Bharu – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS yang baru menggantikan Datuk Mustafa Ali.

 

Takiyuddin ketika ditemui di Majlis Pelancaran Tabung Ihya Ramadan di Kota Bharu, semalam mengesahkan pelantikan itu.

 

“Saya mengesahkan pelantikan sebagai setiausaha Pas pada mesyuarat AJK PAS Pusat, selain itu, AJK PAS Pusat, Nasrudin Hassan dilantik sebagai ketua penerangan, lain-lain jawatan akan diputuskan kemudian,” katanya.

 

Ujarnya keputusan itu dibuat pada mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat (AJK) tiga hari lalu.

 

Sementara itu Datuk Mustafa tidak menolak mengenai desas-desus itu namun berkata masih belum boleh mengesahkan perkara itu kerana tidak menerima sebarang surat rasmi.

 

“Saya tak ada terima surat, tiada siapa hubungi saya jadi saya tak boleh nak komen apa-apa. Tapi saya rasa mungkin betul, saya difahamkan (Datuk) Takiyuddin dah bagi tahu pelantikan tu, takkan Takiyuddin nak bohong?,” katanya.

 

Menurut satu portal online, mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat pertama selepas muktamar memutuskan untuk menggugurkan Mustafa dan melantik Takiyuddin untuk meggantikan beliau.

 

Tetapi pelantikan tersebut berserta ahli jawatankuasa (AJK) yang baru hanya akan diumumkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Rabu depan.

 

Ketika ditanya kenapa beliau disingkirkan dalam jawatan tertinggi dalam PAS itu, Mustafa meminta soalan itu ditanyakan kepada pihak atasan dalam PAS.

 

“Kena tanya orang yang tukarlah, jangan tanya saya,” katanya sambil tertawa.

 

Mustafa sebelum ini mencuri perhatian banyak pihak apabila dipalitkan dengan sebuah rakaman yang menampilkan seorang lelaki miripnya sedang melakukan hubungan seks dengan pasangannya dalam sebuah hotel.

 

Mustafa menafikan lelaki itu adalah dirinya dan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang.

 

Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang pengesahan daripadanya adakah tindakan perundangan itu sudah dibuat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.