Kenaikan Tol Belum Muktamad – PM

Kuala Lumpur – Kenaikan kadar tol di 16 lebuh raya yang dilaporkan akan berlaku pada Ogos ini belum muktamad, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Perdana Menteri berkata, Kabinet masih membincangkan kenaikan itu dan keputusan hanya akan diketahui dalam beberapa minggu lagi.

 

“Kita akan bincangkan dahulu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada Jumaat.

 

Beliau mengulas laporan akhbar Berita Harian bahawa kadar tol bagi 16 lebuh raya akan dinaikkan pada Ogos ini.

 

Kenaikan itu sebanyak 20 sen dan ada lebuh raya menyaksikan kenaikan sehingga RM1.

 

Mengikut rekod, Perjanjian Konsesi Lebuhraya akan tamat tahun ini dan pemegang konsesi berhak menaikkan kadar tol.

 

Namun, jumlah kenaikan itu bergantung kepada kemampuan kerajaan membayar pampasan atau subsidi kepada syarikat konsesi sebagai balasan untuk tidak menaikan kadar tol atau hanya kenaikan minima.

 

Dalam perkembangan sama, Najib melahirkan rasa kecewa apabila ada anggota kerajaan yang membocorkan maklumat kenaikan kadar tol itu.

 

Katanya, tindakan membocorkan maklumat itu telah mengkhianati kepercayaan sebagai anggota kerajaan.

 

“Malangnya berlaku kebocoran di media sosial, ia sangat-sangat malang kerana ada pihak yang tidak beretika dan mereka telah mengkhianati kepercayaan sebagai anggota kerajaan,” katanya.

 

Beliau bagaimanapun berkata, maklumat yang dibocorkan itu merupakan keputusan belum muktamad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.