DAP Sedia Kerjasama Demi Tumbangkan BN

Johor Bahru – DAP Johor secara terbuka menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti yang berhasrat untuk menumbangkan kerajaan BN pada PRU akan datang.

 

Malah kesediaan itu dinyatakan selepas hubungan DAP dan Pas dilihat seakan bakal menemui penghujungnya, susulan usul putus kerjasama melibatkan kedua parti terbabit dalam Muktamar Pas, baru-baru ini.

 

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, Pas dilihat tidak bersedia untuk menumbangkan BN, sebaliknya hanya lebih cenderung untuk memastikan hudud dapat dilaksanakan.

 

Menurutnya, tindakan Pas dilihat bersekongkol dengan BN akan meninggalkan kesan besar kehilangan penyokong kerana ketika ini, wujud sentimen tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

 

“Keputusan kita terpulang kepada Jawatankuasa Pusat DAP, kita bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti yang berminat untuk menumbangkan BN.

 

“Sekiranya Pas membuat pilihan yang salah, parti itu tidak akan memenangi sokongan rakyat kerana di Johor sendiri dua pertiga kerusi parlimen dan 18 per 26 kerusi Dun adalah kawasan campuran.

 

“Ini bermakna DAP tidak boleh menang tanpa sokongan Melayu dan begitu juga Pas tidak boleh menang tanpa sokongan bukan Melayu,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, hakikat dalam PRU, DAP berusaha mendapatkan sokongan Melayu dan Pas pula berusaha mendapatkan sokongan bukan Melayu bagi mencapai misi menawan Putrajaya.

 

Katanya, sekiranya Pas memilih untuk bersendirian menawan hati pengundi, parti itu tidak akan menang bukan sahaja di Johor, malah seluruh negara kerana majoriti kawasan yang dimenangi adalah kawasan campuran.

 

“Keputusan itu menampakkan Pas tidak mengambil berat usaha PR untuk memenangi kuasa persekutuan dalam usaha merampas Putrajaya pada PRU14 nanti.

 

“Konflik yang berlaku ini bukan isu baharu, sebaliknya isu yang sekurang-kurangnya 17 tahun lalu, jadi kita kena bersedia dengan penjajaran semula (realignment) yang bakal berlaku,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.