KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan menafikan slogan `Sabah for Sabahan’ (Sabah untuk Orang Sabah) sebagai satu tindakan berunsur penentangan terhadap Persekutuan.
Beliau berkata ia adalah pendirian yang sah untuk maruah politik, integriti perlembagaan dan kebenaran sejarah yang berlaku di Sabah.
Katanya, Sabah bukan sebuah negeri bawahan, sebaliknya ia adalah rakan setara bersama Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu yang membentuk Persekutuan Malaysia.
“Kita membentuk Persekutuan Malaysia sebagai rakan setara bersama Sarawak dan Malaya berdasarkan perkara yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya dalam satu kenyataan, lapor BH di Kota Kinabalu pada Selasa.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyebut slogan Sabah Untuk Orang Sabah tidak seharusnya dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata sentimen berkenaan tidak selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan keterangkuman antara parti politik dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Sementara itu, Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkata slogan `Sabah untuk Orang Sabah’ bukan slogan politik sementara, sebaliknya terus kekal kerana ia adalah satu pemulihan kebenaran yang lama tertunggak.
Beliau mendakwa, jika ada unsur pecah belah, ia adalah disebabkan sikap angkuh Persekutuan yang enggan mengiktiraf kedudukan Sabah yang sah.
“Kerjasama dengan Putrajaya mestilah berdasarkan rasa hormat dan kesaksamaan, bukannya ketundukan.
“Kita akan bekerja bersama apabila ia memanfaatkan Sabah tetapi kita tidak boleh bertoleransi dengan campur tangan, manipulasi dan eksploitasi,” katanya.
Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, sama ada Sabah bergerak ke hadapan sebagai sebuah rakan yang dipulihkan dalam persekutuan atau melakar babak baharu, bergantung kepada bagaimana negeri ini dilayan.
Katanya, keputusan itu bukan dibuat di Putrajaya, sebaliknya akan ditentukan oleh rakyat Sabah di negeri ini.
Beliau turut menggariskan beberapa fakta yang didakwanya sebagai tindakan menyebabkan Sabah kehilangan haknya sejak 1976.
Katanya, ia termasuk kawalan terhadap sumber minyak dan gas dari Sabah yang diletakkan di bawah Petronas dan pemadaman status sebagai sebuah negara dan rakan setara dari Perlembagaan Persekutuan dan negeri.
Selain itu, katanya Projek IC (kad pengenalan) diguna untuk membawa masuk pendatang tanpa izin dan mengubah demografi Sabah serta masa depan politiknya secara kekal.
Beliau juga mendakwa, Perlembagaan Sabah diganggu bagi membolehkan kemasukan parti dari Semenanjung yang menggilirkan jawatan Ketua Menteri seperti satu pemberian sehinggalah giliran Umno tiba.
“Hutan dan tanah kita diberikan kepada entiti yang jauh dari Sabah, mengkayakan orang lain atas perbelanjaan kita. Dasar hasil Persekutuan berterusan melucutkan hak perkongsian Sabah, manakala infrastruktur kita kekal ketinggalan berpuluh tahun,” katanya.
Jeffrey turut mendakwa janji Borneonisasi dengan mengutamakan jawatan utama Persekutuan di Sabah kepada rakyat tempatan sebagai rosak apabila ia didominasi penjawat awam dari Semenanjung.
“Sekarang, selepas semua ini, kita diminta tidak meluahkan aspirasi kita sendiri? Duduk diam manakala parti dari Semenanjung berunding dalam kalangan mereka mengenai siapa yang memerintah Sabah?
“Sabah ada hak untuk memutuskan hala tujunya. Jika Malaysia bermaksud apa-apa, ia mesti dibina atas perkongsian tulen, bukan penguasaan,” katanya.