TELUK INTAN– Individu yang memandu lori dalam kejadian kemalangan yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pagi tadi pernah berdepan dengan beberapa pertuduhan jenayah berat sebelum ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, siasatan awal mendapati lelaki berumur 45 tahun itu mempunyai enam rekod kes jenayah, termasuk satu kes rogol, selain berkait dengan kesalahan berkaitan dadah dan beberapa kes kecurian.
“Ujian air kencing telah dijalankan ke atas suspek dan keputusannya negatif. Selain itu, dakwaan yang tular bahawa dia membawa ketum juga tidak benar,” jelas Ayob dalam sidang media yang diadakan di IPD Hilir Perak.
Beliau berkata, walaupun suspek mempunyai rekod lampau, semua kes telah diselesaikan melalui proses undang-undang dan hukuman penjara telah dijalani, termasuk bagi kesalahan rogol.
Insiden berlaku sekitar jam 8.40 pagi, apabila lori yang membawa batu kerikil merempuh trak FRU yang sedang membawa anggota pulang dari tugasan kawalan keselamatan di Ipoh. Dua anggota lain turut mengalami kecederaan serius.
Polis kini sedang mengambil keterangan lanjut daripada suspek, termasuk menilai aspek teknikal kejadian untuk melengkapkan siasatan.