PUTRAJAYA, – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa tragedi yang meragut nyawa sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak sepatutnya boleh dielakkan sekiranya kenderaan terlibat menjalani pemeriksaan secara berkala dan ketat oleh Puspakom.
Memetik laporan Sinar Harian, Zahid berkata siasatan awal mendapati lori yang terlibat mengalami kerosakan sistem stereng satu kegagalan yang tidak sepatutnya berlaku jika pemeriksaan kenderaan dilakukan mengikut piawaian.
“Tidak seharusnya berlaku jika kenderaan itu telah melalui ujian Puspakom. Untuk itu, kita bukan hanya meletakkan tanggungjawab kepada pemandu lori, tetapi tuan punya syarikat juga harus dipertanggungjawabkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) di Putrajaya, hari ini.
Dalam nahas kira-kira jam 8.50 pagi Selasa, sembilan anggota FRU maut manakala dua lagi cedera parah selepas trak yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan.
Zahid turut menggesa agar pemantauan lebih ketat dilakukan terhadap syarikat pengangkutan, termasuk semakan menyeluruh ke atas tahap penyelenggaraan kenderaan agensi dan swasta yang digunakan di jalan raya.