KUALA LUMPUR – Hujan lebat serta angin kuat menyebabkan sebatang pokok tumbang dan hampir mengenai kenderaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Jalan Pinang, dekat sini jam 3.26 petang pada Isnin.
Bagaimanapun pokok terbabit tidak mengenai kenderaan yang dinaikinya Ab Rauf, namun kereta pengiring polis jenis Proton X70 yang berada hadapan sekali terkena pokok yang tumbang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan kejadian itu dan pihaknya ada menerima laporan berhubung pokok tumbang terbabit.
Beliau berkata, kejadian pokok tumbang berhadapan Kuwait Bank itu hampir mengenai kenderaan Ketua Menteri Melaka yang mempunyai urusan kerja di Kuala Lumpur.
“Kita sahkan ada kejadian yang berlaku dan tular tersebut.
“Sebarang perkembangan terkini kita akan maklum,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kejadian itu tular di laman sosial yang memaparkan pokok tumpang sebelum menghempap beberapa kenderaan.
Rusdi berkata, tiga kereta orang awam dan lima motosikal termasuk sebuah kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak sebagai konvoi kereta pengiring Ketua Menteri Melaka terlibat dalam kejadian pokok tumbang terbabit. – Sinar