Rakyat Johor Kini Boleh ‘Miliki’ JDT

JOHOR BAHRU – Berita baik untuk penyokong-penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila mereka berpeluang untuk memiliki pasukan kegemaran itu tidak lama lagi.

 

Pengerusi Yayasan JDT, Datuk Hasni Mohammed berkata, penyokong pasukan JDT yang berminat untuk memiliki pasukan itu boleh berbuat demikian menerusi Yayasan JDT yang akan dilancarkan pada September depan.

 

Bagaimanapun kata Hasni, mekanisme pemilikkan tersebut masih belum diputuskan sama ada menerusi pemilikan saham atau melalui derma yang disalurkan penyokong.

 

“Menerusi Yayasan JDT, penyokong diberi peluang memiliki pasukan JDT sama seperti dilakukan kelab bola sepak antarabangsa ternama, bagaimanapun mekanisme pemilikan itu masih di peringkat perbincangan.

 

“Penubuhan Yayasan JDT sememangnya adalah untuk penyokong dan hingga kini sejak penubuhannya sejumlah RM1.5 juta dana dikumpulkan daripada pihak penaja yang terdiri daripada individu dan syarikat,” katanya.

 

Menurutnya lagi, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah meskipun pasukan JDT adalah milik baginda, Tunku Ismail memberi peluang penyokong untuk turut sama memiliki pasukan berkenaan.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah negeri berkata demikian pada sidang media di Johor Bahru di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.