Penjenayah Mati Dalam Kejadian Berbalas Tembak Dengan Polis

Butterworth – Seorang penjenayah berbahaya dan sangat dikehendaki polis yang dikenali sebagai ‘Money’ mati selepas berbalas tembak dengan pasukan keselamatan di Lorong Kubur, di sini, pagi ini.

 

Money atau nama sebenarnya K Jevanantha, 49, mempunyai 53 rekod jenayah termasuk kes bunuh, samun dan curi kereta dan dikehendaki polis di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Johor.

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim, berkata lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah sepasukan polis bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU yang menjalankan Ops Cantas Khas/Ops Kargo pada jam 5 pagi tadi.

 

“Polis mengarahkan lelaki yang menunggang motosikal Honda EX5 itu berhenti.

 

Dia berhenti kira-kira tiga meter daripada kereta polis dan sebaik turun daripada motosikalnya lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah polis.

 

Lelaki yang berasal dari kawasan Pantai Bersih, dekat sini itu melepaskan empat das tembakan, satu daripadanya mengenai bahagian kanan kereta polis manakala tiga lagi tersasar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

 

Beliau berkata tindakan lelaki terbabit menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan dan dua das tembakan polis itu mengenai dada dan kepala lelaki terbabit.

 

Abdul Rahman berkata polis merampas sepucuk pistol semi auto Browning dan empat butir peluru bersama lelaki terbabit.

 

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati motosikal yang ditunggang lelaki berkenaan adalah kenderaan curi yang dilapor hilang Februari lepas di Tasek Gelugor, dekat sini.

 

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, katanya. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Twitternya pagi ini mengucapkan tahniah kepada IPD SPU atas kejayaan menembak mati penjenayah berbahaya itu.

 

“Syabas JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah), SPU @PDRMsia Penang pagi tadi tumpaskan seorang penjenayah yang sangat dikehendaki di B’worth dalam insiden berbalas tembakan. Go PDRM Go,” kata Khalid dalam catatan Twitternya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.