Singkir Calon Simpan Gangster

BUKIT BERUNTUNG – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) perlu bertindak tegas terhadap mana-mana anggota PKR yang mengamalkan budaya gangster dalam parti.

Calon Timbalan Ketua PKR Cabang Hulu Selangor, Datuk K Ramachandran berkata, budaya itu perlu dibuang agar tidak menular kerana dikhuatiri PKR dilabelkan sebagai parti gangster.

“Minta JPP selidik dan kenalpasti mana-mana calon yang menggunakan gangster dan bertindak tegas dalam isu ini.

“Buang budaya ini dari parti.  Kita tidak mahu unsur ini ada dalam parti. Jika calon menyimpan gangster atau mengamalkan budaya ini dalam pemilihan parti dikhuatiri pemilihan seterusnya akan berlaku kekecohan lagi,” katanya.

Beliau menyentuh berhubung insiden kekecohan yang tercetus pada Pemilihan PKR Cabang Hulu Selangor kelmarin  sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli parti serta menimbulkan  persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap PKR.

Katanya, dalam insiden itu, kumpulan yang disifatkan gangster dengan mudah memasuki pusat pemilihan dan mengarahkan  petugas JPP keluar sedangkan jawatankuasa itu ibarat barisan kehakiman yang diberi mandat menyelia dan menghakimi perjalanan pemilihan.

Seorang  ahli parti,  Mustafa Ibrahim berkata, budaya gangsterisme dilihat ketara digunakan oleh segelintir calon yang bertanding dan ia perlu dikekang sebelum menular ke seluruh negara.

“Jika JPP tak buat pendedahan,  mungkin parti akan hilang  banyak ahli kerana hilangnya kepercayaan rakyat terhadap  PKR yang berdiri atas prinsip memperjuangkan keadilan,” katanya.

Katanya, JPP juga disifatkan sangat ‘lembik’ dalam aspek keselamatan sehingga terlalu mudah ditembusi.

Mustafa  mengambil contoh  proses pengiraan undi pada pemilihan kelmarin yang terlalu mudah dimasuki kumpulan gangster sehingga mengakibatkan kekecohan.

Sewajarnya kata beliau, pintu pusat  pemilihan  dikunci dan dikawal ketat bagi menjamin keselamatan dan ketelusan proses pengiraan.

Dalam perkembangan lain, calon Naib Ketua PKR  Cabang Hulu Selangor, Shaiful  Anuar Sulaiman mendedahkan  empat ahli PKR telah mengemukakan bantahan pemilihan berkaitan isu ketiadaan nama dalam daftar pemilih yang dikeluarkan JPP menyebabkan mereka tidak dapat memilih pada Pemilihan PKR cabang kelmarin.

“Sebenarnya ramai lagi yang tidak dapat mengundi semalam (kelmarin) sebab nama mereka  tiada dalam daftar pemilih.

“Isu kehilangan nama di dalam daftar pemilihan ini perlu dipandang serius sebab banyak bukti,” katanya.

Menurutnya, JPP perlu lebih bertindak tegas dan profesional dalam menangani isu tersebut memandangkan beberapa cabang di Selangor bakal mengadakan pemilihan semula.

Beliau berkata, 10 daripada 16 cabang yang gagal menyelesaikan proses pemilihan kelmarin telah diputuskan untuk mengadakan pemilihan semula dalam tempoh dua minggu akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.