RM500,000 Menanti Penyebar Fitnah Sepanjang PRK – Fahmi

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi bakal memperketat pemantauan terhadap penggunaan media sosial sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, bagi menghalang penyebaran maklumat palsu, unsur fitnah, dan kandungan berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja).

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa pihaknya memiliki keupayaan untuk mengenal pasti individu yang menyalahgunakan media sosial dalam tempoh kempen.

“Saya nasihatkan untuk semua berkempen dengan baik dengan mengelak daripada menabur fitnah ataupun menggunakan elemen 3R dalam kempen terutama dalam media sosial kerana kita ada keupayaan untuk mengesan mereka yang menghantar mesej dan komen.”

Tambah beliau, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang telah berkuat kuasa sejak 11 Februari, menyediakan peruntukan undang-undang yang lebih ketat, termasuk hukuman denda maksimum RM500,000 di bawah Seksyen 233.

“Jumlahnya sangat besar. Jadi saya harap ini akan menjadi peringatan supaya kita mengelak daripada menabur fitnah sepanjang kempen dan pada setiap masa,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai.

PRK DUN Ayer Kuning dijadual berlangsung pada 26 April, susulan kematian penyandang kerusi itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu. Tiga calon akan bertanding: Dr. Mohamad Yusri Bakir (BN), Abd Muhaimin Malek (PN), dan Bawani KS (PSM).

Fahmi turut menyuarakan keyakinan terhadap potensi calon BN untuk mengulangi kemenangan di kerusi tersebut.

“Saya telah bertemu dengan calon beberapa hari yang lalu dalam lawatan ringkas ke Ayer Kuning dan saya lihat beliau seorang yang bukan hanya berpengalaman dan berpendidikan. Saya lihat peluang setakat ini cerah tapi perlu diusahakan dengan baik.”

Dalam perkembangan lain, beliau menekankan bahawa pembangunan di kawasan Lembah Pantai tidak akan meminggirkan mana-mana golongan, seiring dengan penggubalan Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

“Rang Undang-Undang PSB ini takkan ketepikan hak mana-mana pihak seperti yang dituduh… ia takkan berlaku. Malah dengan adanya Akta PSB ini, hak mereka yang terlibat akan terjamin dan terbela,” ujar beliau.

Beliau turut menyatakan bahawa kawasan itu bakal menerima pembangunan seperti pembinaan lima stesen MRT baharu, termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya, Simpang Pantai Permai, dan KTM Pantai Dalam.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat