KUALA LUMPUR, – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan bahawa beliau bertanggungjawab terhadap keputusan pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini, Muhyiddin menjelaskan bahawa keputusan berkaitan isu tersebut dibuat mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dan tidak melibatkan beliau secara langsung semasa memegang jawatan Perdana Menteri.
“Keputusan pengambilan tanah tersebut yang dibuat di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak melibatkan saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu,” katanya.
Menurut beliau, proses itu dijalankan oleh pihak berkuasa tanah Wilayah Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam undang-undang.
Tambah beliau lagi, jika terdapat sebarang pelanggaran terhadap undang-undang dalam proses pengambilan tanah tersebut, mahkamah merupakan tempat yang tepat untuk menentukan hak-hak pihak yang terjejas.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tohmahan yang mendakwa beliau merupakan pihak bertanggungjawab dalam keputusan yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan penduduk setempat.