KUALA LUMPUR: Sudah pasti, aspek pengalaman dan pencapaian cemerlang menjadi kriteria utama untuk mana-mana individu dilantik menduduki kerusi juri program realiti.
Nama hebat seperti Datuk Ramli MS, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Mas Idayu dan Ajai, contohnya, menjadi tokoh ‘legit’ bergelar juri atau pengkritik berdasarkan kewibawaan mereka.
Justeru, apabila penyanyi dan penulis lagu yang semakin meningkat naik, Aina Abdul diumumkan juri musim kelima program realiti, Big Stage, ramai tertanya-tanya apakah penyanyi yang mula meledak menerusi lagu Sumpah itu layak menduduki kerusi panas itu?
Mengulas perkara itu, Aina atau nama sebenar, Nurul Aina Abdul Ghani yakin mampu menggalas tanggungjawab itu biarpun sedar cabaran besar menanti.
“Walaupun pertandingan ini lebih kepada untuk peserta, tetapi saya lihat posisi sebagai juri suatu ujian buat saya.
“Saya akan cuba yakinkan penonton yang mempunyai pendapat berbeza dan membuktikan kepada mereka saya layak jadi juri.
“Dengan pengalaman bertahun-tahun, banyak perkara saya boleh kongsi. Bukan sekadar vokal, sebaliknya, ilmu dari segi tenaga, aura dan penampilan.
“Ilmu itulah yang saya hendak ajar kepada adik-adik saya ini,” katanya pada sidang media musim kelima Big Stage di Damansara Perdana, Petaling Jaya, kelmarin.
Yang turut diperkenalkan adalah hos program itu iaitu penyanyi, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein.
Aina juga sudah bersedia jika ada yang akan cuba membandingkan dirinya dengan juri terdahulu, iaitu Siti Nurhaliza.
“Saya tahu tempat saya ini pernah diduduki penyanyi nombor satu negara. Saya pasti akan ada yang cuba membandingkan kami.
“Rasanya sudah banyak kali saya terangkan dalam konteks yang berbeza, iaitu tanpa Siti, saya tidak akan berada pada kedudukan hari ini.
“Saya sangat kagum dengan Siti. Jadi, saya akan cuba jadi versi Aina sendiri dalam menghakimi. Jauh sekali saya hendak meniru atau berlawan dengan beliau.
“Harapan saya, usahlah dibandingkan kami. Saya tahu akan ada perbezaan pada konsert pertama nanti.
“Tugas sebagai juri ini juga satu karier kerana membawa nama saya. Jadi, biarlah tugas yang akan saya laksanakan itu nanti sesuai dengan diri Aina,” katanya.

Menyedari juri tidak akan terlepas daripada sasaran kritikan netizen, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 ini akan mengambil pendekatan yang lebih santai dalam memberi komen.
“Saya akan cuba jadi juri yang telus dan jujur, tetapi bukan garang. Saya tidak akan pergi terlalu teknikal kerana tidak semua orang faham.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya tidak pernah melawan apa sahaja kecaman netizen.
“Bukan kerana saya lemah, tetapi saya fikir semua orang ada kebebasan bersuara. Walaupun tidak semua cakap mereka itu saya setuju, tetapi, saya tidak boleh tutup mulut mereka.
“Sebaliknya, saya banyak belajar apa yang mereka katakan. Mana yang okay, saya terima dan tidak okay, saya abaikan,” katanya.
Antara peserta yang bakal bersaing untuk musim kelima Big Stage adalah Isaac Voo, Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad dan Nadeera Zaini.
Turut bersaing Dem Lepak Boyz (Duo) dan kumpulan M-pop perempuan, COEX yang merangkumi Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.
Musim kelima Big Stage akan disiarkan secara langsung oleh Astro Ria di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai 7 Mei ini.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi juri tetap dan pasangan kepada Elly bersama empat lagi peserta dari luar negara akan diumumkan pada minggu pertama konsert.
Berita Harian