Rasmi: BN Menang Bergaya PRK Rantau, PH Kalah Dengan Majoriti 4,510 Undi

REMBAU – Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau selepas berjaya memperoleh sebanyak 10, 397 undi.

Keputusan tersebut menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu memperoleh 5,887 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, Mohd. Nizam Tajul Arus mengumumkan keputusan tersebut kira-kira pukul 8.45 malam di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Dalam pada itu, dua calon Bebas yang turut bertanding, R. Malarvizhi mendapat 83 undi, manakala Mohd. Nor Yassin mendapat 79 undi.

Yang turut hadir meraikan kejayaan Mohamad ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Kemenangan BN itu turut disambut penyokong-penyokong BN yang telah mula memenuhi kawasan hadapan pusat penjumlahan undi sejak pukul 7.45 petang.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November 2018, bahawa kemenangan tanpa bertanding Mohamad di kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu dibuat selepas Streram memfailkan petisyen membatalkan kemenangan Mohamad ekoran beliau dihalang masuk ke pusat penamaan calon di sini oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 April tahun lalu.

Mohamad yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan adalah penyandang kerusi DUN itu selama tiga penggal sejak 2004. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.