Wanita Warga Emas Ditemui Maut Dengan Kesan Tikaman

Seorang wanita warga emas ditemui maut dengan kesan tikaman di bahagian dapur rumahnya di Kampung Mengkebang di Kuala Krai semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Abdullah Roning berkata wanita itu Rokiah Mamat, 61, dipercayai menjadi mangsa samun berikutan keadaan di dalam rumah yang berselerak.

Wanita itu ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan darah di kepala pada kira-kira 3.30 petang oleh anaknya seorang guru yang baru pulang ke rumah, katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Abdullah berkata mangsa dipercayai sudah meninggal dunia ketika ditemui oleh anaknya yang berusia 30-an itu dan menurutnya ketika kejadian mangsa bersendirian di rumah itu.

“Berdasarkan kesan darah, mangsa kemungkinan dibunuh pada kira-kira pukul 11 pagi,” katanya dan menurutnya mayat wanita itu dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.